_

Sunday, January 22, 2012

PENGKOMPOSAN SISA PEPEJAL ORGANIK


Kaedah ini tidak dapat menyelesaikan sepenuhnya masalah sisa buangan pepejal tetapi ia mampu mengalihkan sejumlah sisa buangan terutama sisa organik dari tempat pelupusan sampah dan dengan itu mengurangkan masalah sisa organik.

Bahan organik pepejal yang menjadi bahan paling banyak dibuang boleh digunakan sebagai substrat kepada beberapa makro dan mikro-organisma untuk ditukarkan kepada baja organik yang boleh diguna-kan oleh tumbuhan sebagai nutrien dan meningkatkan kesuburan tanah. Dalam hal ini, sisa buangan yang terdiri daripada sampah sarap organik merupakan sumber makanan kepada bakteria, kulat, aktino-miset, serangga dan cacing tanah yang bersama-sama mengambil bahagian dalam pengkomposan bahan-bahan organik.

Beberapa kaedah pengkomposan telah wujud sejak beribu tahun dahulu. Pengkomposan bermaksud penurunan secara biologi bahan organik kepada humus. Apabila tumbuhan atau haiwan mati ia akan menjadi bahan nutrien kepada makro dan mikroorganisma, dan akhirnya menjadi tanah semula. Pada zaman dahulu manusia menggunakan semula sampah sarap pertanian mereka dengan cara mengkompos.

Pengkomposan ialah suatu proses dinamik yang berlaku perlahan- lahan atau cepat. Pengkomposan boleh dijalankan secara pasif atau aktif. Sisa tumbuhan dan haiwan mati yang dibiarkan beberapa lama akan mengkompos secara semula jadi. Ini disebut sebagai pengkomposan pasif kerana berlaku tanpa memerlukan banyak penjagaan. Kompos pasif mungkin mengambil masa 6–10 bulan untuk terbentuk sepenuhnya. Pengkomposan aktif boleh mengambil masa yang singkat, iaitu antara 2–4 minggu. Kaedah ini memerlukan beberapa faktor, iaitu:

1. pengudaraan dengan membalik-balikkan timbunan kompos,
2. kelembapan,
3. nisbah karbon dengan nitrogen (C:N) yang sesuai, dan
4. ketiga-tiga faktor di atas menentukan suhu yang sesuai (suhu yang tinggi) untuk mempercepatkan penguraian, iaitu suhu antara 45–70°C.

Pengkomposan jenis ketiga ialah kaedah vermikultur atau pemeliha-raan spesies cacing tanah tertentu untuk memakan sampah sarap organik. Vermikultur amat sesuai untuk mereka yang tidak mempunyai lapangan yang luas. Aktiviti vermikultur boleh dilakukan di dalam atau di luar rumah sama ada secara kecil-kecilan, sederhana atau besar-besaran. Keadaan persekitaran, cuaca dan suhu di Malaysia amat sesuai untuk ternakan dan aktiviti vermikultur.

OBJEKTIF

Objektif utama projek vermikultur ialah menawarkan suatu kaedah alternatif pelupusan sampah sarap organik dengan hasil akhir yang boleh dikomersialkan, iaitu baja organik/kondisioner tanah, pestisid semula jadi dan biojisim (biomass) cacing.

TEKNOLOGI VERMIKULTUR

Kaedah Vermikultur

Vermi berasal daripada bahasa Latin bermaksud cacing. Vermikultur ialah proses pelupusan sampah sarap menggunakan cacing tanah untuk memakan sisa buangan organik pepejal dan menukarkannya kepada baja organik yang disebut vermikas atau najis cacing.

Kaedah vermikultur telah pun dijalankan di beberapa negara. Walau bagaimanapun, aktiviti ini terhad kepada beberapa kawasan sahaja dan belum dipraktikkan dengan begitu meluas. Negara China misalnya menternak dan menggunakan cacing tanah dalam banyak bidang perubatan tradisional, iaitu untuk bahan farmaseutikal dan kosmetik. Di India terdapat beberapa kampung yang terletak di bahagian Selatan India mengamalkan vermikultur untuk membaja tanaman mereka.

Cuba pula merupakan sebuah negara yang menjadi mangsa sekatan ekonomi kerajaan Amerika Syarikat selepas perpecahan kerajaan Rusia. Cuba masih bertahan sebagai sebuah negara pertanian terutama dalam pengeluaran komoditi gula kerana kekurangan import baja kimia telah dapat diatasi dengan penggunaan baja organik yang disediakan melalui teknik vermikultur. Beberapa bandar di Kanada, Amerika Syarikat dan Australia menggunakan vermikultur untuk melupus sisa buangan organik bandaran. Di New Zealand, kaedah vermikultur digunakan untuk memperbaiki hasil anggur yang digunakan untuk membuat wain. Di Korea, teknik vermikultur telah digunakan oleh sebuah syarikat untuk menstabilkan sisa biopepejal najis manusia. Oleh kerana potensi yang baik ini maka negara kita tidak harus ketinggalan dalam memperluaskan kajian dan penggunaan teknologi vermikultur ini.

Cacing Vermikultur

Beberapa spesies cacing tanah telah digunakan untuk tujuan vermikultur. Spesies paling popular ialah cacing belang atau cacing harimau Eisenia foetida, cacing merah atau cacing najis Lumbricus rubellus, dan Amynthas gracilis. Cacing tanah yang biasa kita lihat atau cacing taman atau cacing padang ialah jenis cacing yang tinggal di dalam tanah dengan membina terowong dan lubang-lubang dalam tanah. Cacing ini tidak sesuai untuk tujuan penghasilan vermikas.

Cacing harimau atau cacing merah biasanya tinggal dalam najis, timbunan kompos dan bahan tumbuhan yang kaya dengan bahan organik. Bahan organik yang dimakan akan melalui bahagian prostomium, iaitu struktur seperti mulut yang dapat memegang makanan (lihat gambar 1). Bahagian farinks boleh dijulur keluar bagi menolak makanan ke dalam sistem penghadaman cacing. Cacing tanah tidak bergigi, oleh itu makanan diselaputi oleh air liur yang menjadikannya lembut dan mudah dihadam. Makanan diambil oleh bahagian prostomium yang berbentuk seperti bibir yang terbalik, yang mengambil makanan untuk dimasukkan ke dalam salur penghadaman di dalam badan. Selepas ditelan, makanan bergerak ke esofagus ke dalam perut dan akhirnya ke dalam gizard atau hempedal.

Di dalam hempedal cacing, terdapat batu-batu halus yang mengisar makanan. Makanan yang telah dikisar bergerak ke usus yang panjang, iaitu sama panjang dengan ukuran cacing tersebut. Di akhir usus ialah dubur yang berfungsi mengeluarkan kasting atau najis cacing. Dalam masa 24 jam, 1 kg cacing berupaya memakan 1 kg sampah dan menghasilkan lebih kurang 350 g vermikas, iaitu sepertiga jumlah yang dimakan.

Gambar 1. Bahagian paling anterior ialah struktur prostomium yang berfungsi seperti mulut, iaitu menolak dan mengambil makanan untuk ditelan.

Cacing tidak mempunyai mata atau telinga tetapi sangat sensitif terhadap getaran atau gegaran pada tempat pengkompos. Ia juga sangat sensitif terhadap cahaya. Cahaya ultralembayung boleh memudaratkan cacing. Pendedahan selama satu jam di bawah matahari yang cerah boleh menyebabkan lumpuh separa atau sepenuhnya. Beberapa jam pendedahan pula boleh membawa maut.

Cacing bernafas melalui kulitnya yang sentiasa lembab. Oksigen diserap oleh lembapan kulit dan diangkut ke dalam kapilari tubuh cacing. Keadaan tempat ternakan yang tergenang dengan air
memudaratkan cacing dan menyebabkan ia lemas kerana keadaan anaerob.

Faedah Vermikas

Vermikas mengandungi humus semula jadi yang mendatangkan faedah kepada tumbuhan seperti berikut:

1. Mampu bertindak sebagai penampan keasidan tanah. Kehadiran-nya mengimbangi pH melampau, iaitu vermikas mampu meningkatkan ketersediaan nutrien tanah untuk tumbuhan.

2. Berfungsi sebagai pemerangkap toksin dalam tanah. Humus mempunyai kemampuan untuk memerangkap logam berat atau menetapkan logam berat seperti yang terdapat dalam najis manusia, najis haiwan, sisa tumbuhan dan gambut. Menghalang tumbuhan daripada menyerap logam berat tersebut secara berlebihan.

3. Vermikas bertindak sebagai perangsang pertumbuhan. Asid humik yang terkandung dalam vermikas mampu merangsang pertumbuhan tanaman seperti barli, tomato, kentang dan gandum.

4. Selain berfungsi sebagai humus, vermikas juga mampu membe-kalkan nutrien tumbuhan. Vermikas biasanya mengandungi lebih banyak kandungan nutrien berbanding kompos biasa. Walaupun kandungan nutrien major seperti N, P dan K lebih rendah berbanding baja kimia tetapi kaya dengan kandungan minor dan unsur surih yang dapat memberi keseimbangan nutrien kepada tumbuhan.

5. Penghasilan vermikas melalui sistem vermikultur mampu mengurangkan pembuangan sisa organik ke tempat pelupusan sampah yang hampir penuh. Projek vermikas mampu mengu-rangkan sisa betul-betul pada punca sisa itu terhasil seperti sisa rumah tangga atau pertanian tanpa perlu memisahkan kategori peringkat yang berikutnya.

6. Kenyataan Eastman (1999) menunjukkan bilangan cacing pita Ascaris sp. menurun sehingga 48% selepas 72 jam rawatan vermikultur sementara kawalan, iaitu rawatan tanah, tidak menunjukkan sebarang penurunan. Salmonella sp. menurun sebanyak 99% selepas 72 jam proses vermikultur sementara kawalan rawatan tanah menurun sebanyak 93%. Koliform najis juga menurun sebanyak 99% dengan kawalan menurun sebanyak 20% sahaja. Bukti ini menunjukkan proses vermikultur mampu menurun dan menstabilkan jumlah bilangan patogen E. coli, Salmonella, dan telur helmin pembawa penyakit seperti Ascaris.

Kitar Hidup dan Pembiakan

Biasanya cacing tanah hidup pada julat suhu yang agak luas, iaitu 18–30°C. Cacing bersifat hermaprodit, iaitu memiliki kedua-dua organ seksual jantan dan betina dalam satu individu. Telur daripada ovum seekor cacing disenyawakan oleh sperma daripada cacing pasangan pembiakannya. Dalam keadaan yang sempurna seekor cacing dewasa boleh menghasikan sebutir kokun setiap 7–10 hari. Semasa bersenyawa, dua ekor cacing yang sama saiz boleh berpasangan untuk mengeluarkan telur dan mensenyawakan telur dengan sperma.

Eisenia foetida juga dikenali sebagai cacing harimau, cacing belang atau cacing bawang putih kerana lendir yang berbau bawang putih. Warna badan ialah coklat tua dengan belang kuning yang jelas kelihatan (gambar 2). Panjang badan mencapai 75 mm. Cacing dewasa mempunyai struktur klitelum yang terletak pada pada segmen 26–32 dan membengkak (gambar 3).

Sebuah tiub yang berada pada bahagian klitelum cacing dewasa mengeluarkan mukus atau lendir. Lendir ini membungkus telur-telur yang telah tersenyawa lalu membentuk suatu struktur yang dipanggil kokun. Kokun merupakan sebuah kapsul yang mengandungi antara 4–20 biji telur di dalamnya. Terdapat suatu liang pada satu hujung kokun. Liang ini merupakan tempat anak cacing keluar selepas menetas. Anak cacing boleh masuk semula ke dalam kapsul apabila keadaan persekitarannya tidak sesuai.


Gambar 2. Menunjukkan morfologi cacing belang yang berwarna merah keperangan dengan belang kuning pada segmen.


Gambar 3. Struktur klitelum pada cacing dewasa

Kokun atau kapsul yang mengandungi telur Eisenia foetida berukuran lebih kurang 2 × 1.5 mm dan berbentuk bujur (gambar 3). Warna kokun berubah daripada coklat terang kepada coklat gelap apabila hampir menetas. Sebutir kokun mempunyai lebih kurang 4–20 biji telur dan menghasilkan 2–4 anak. Apabila menetas anak cacing keluar dari hujung liang terbuka pada kokun (gambar 4, 5 dan 6). Anak cacing menjadi dewasa selepas 60–90 hari.

Gambar 4

Gambar 5

Gambar 6

Nota: Gambar 4, 5 dan 6. Anak cacing keluar dari liang pada satu hujung kokun

Anak cacing yang baru keluar berwarna putih (gambar 7). Pertukaran warna dari putih ke merah berlaku pada anak cacing sehingga menjadi perang apabila dewasa (gambar 8 dan 9). Cacing dewasa berwarna perang gelap dengan belang kuning dan pembentukan klitelum, iaitu struktur membengkak yang menempatkan organ seksual matang cacing tanah (gambar 2, 3 dan 9).


Gambar 7. Anak cacing berumur sehari masih berwarna putih


Gambar 8. Anak cacing berumur seminggu berwarna merah


Gambar 9. Cacing yang lebih matang berwarna merah keperangan dengan belang kuning pada segmen

Kawalan Populasi

Saiz populasi bergantung pada beberapa faktor seperti berikut:
1. Kehadiran makanan.
2. Keperluan ruang yang mencukupi.
3. Keracunan persekitaran.

Apabila makanan diberikan dalam keadaan ruang yang terhad maka cacing akan makan makanan tersebut dan menghancurkannya bersama-sama dengan bakteria dan kulat pengurai. Sebahagian kecil makanan yang dihadamkan oleh cacing digunakan untuk tenaga dan protein badan untuk membesar dan hidup, manakala sebahagian besar dinyahtinjakan sebagai najis. Anak cacing dan cacing dewasa bersaing untuk mendapatkan makanan dan kesemuanya menghasilkan najis. Lama-kelamaan najis akan banyak terkumpul. Timbunan najis yang terkumpul selepas kira-kira 8 bulan boleh dituai dan digunakan terus untuk tanaman.


Bekas Memelihara Cacing
Tong kayu, bekas plastik terbuang, sinki lama, peti kayu boleh digunakan untuk memelihara cacing tanah. Gambar 10–18 menunjukkan beberapa jenis bekas yang telah digunakan. Gambar 12 pula menunjukkan kaedah gantung yang boleh dilakukan untuk tempat atau ruang yang terhad. Gantungan boleh diikat pada dahan pokok atau di mana sahaja. Kreativiti tersendiri boleh digunakan untuk tujuan ini.

Gambar 10. Bekas 1 m × 1 m × 30 cm sesuai untuk sampah yang agak banyak

Gambar 11. Bekas fiberglas 2 m × 1 m × 30 cm juga boleh digunakan untuk menternak cacing tanah di luar rumah atau di bawah tangga


Gambar 12. Ternakan atau vermikultur juga sesuai jika dibungkus dalam net dan digantung

Gambar 13. Bekas vermikultur dari kotak stirofom sesuai untuk diletak di bawah sinki


Gambar 14. Bekas sinki terbuang juga mampu digunakan untuk vermikultur


Gambar 15. Vermikultur dalam guni lembap boleh diletakkan di dalam bekas di bawah pokok atau di dalam stor


Gambar 16. Tong air muatan 60 gelen sesuai untuk sampah halaman atau sisa organik yang banyak


Gambar 17. Laci kayu yang dibuang boleh digunakan semula sebagai bekas vermikultur

Gambar 18. Bekas plastik disusun ke atas untuk menjimatkan ruang sesuai untuk vermikultur dalam rumah/dapur

Bekas-bekas tersebut juga boleh diletakkan di luar atau di dalam rumah bergantung pada kehendak pengguna. Oleh kerana tabiat cacing pengkompos yang memakan sisa bahan organik pada bahagian atas tanah, maka tong-tong ternakan tersebut perlu dalam keadaan aerobik, iaitu dengan kedalaman tidak melebihi 30 cm. Ini untuk memastikan keadaan anaerobik boleh dihindarkan.
Panjang atau lebar tong bergantung pada keperluan sama ada untuk sampah kebun, taman atau sampah dapur. Untuk sampah dapur kiraan jumlah sisa terbuang dihasilkan bagi setiap hari menentukan ukuran bekas pemeliharaan tersebut. Saranan terbaik ialah bekas 30 cm × 30 cm × 30 cm untuk setengah kilo sampah.

Tong kayu lebih baik berbanding plastik kerana lebih mudah “bernafas”. Plastik perlu dibuatkan lubang-lubang pada dasar, sisi dan penutup untuk membolehkan pengudaraan air yang secukupnya. Bekas memelihara cacing mesti dibersihkan daripada bahan kimia atau pestisid sebelum digunakan. Air lelehan daripada bekas pemeliharaan boleh ditampung dengan bekas lain dan digunakan sebagai baja cecair bagi kegunaan tumbuhan.

Bekas memelihara cacing harus ditutup untuk mengelakkan cahaya daripada masuk kerana cacing tanah gemar kepada keadaan gelap. Bekas juga harus tertutup bagi mengelakkan pemangsa daripada memakannya.

Pemberian Makanan

Hanya makanan organik sahaja yang sesuai untuk cacing tanah. Hindari daripada memberi makan plastik, kaca atau logam kerana cacing mungkin mati tercekik. Gambar 19 dan 21 menunjukkan beberapa media/sisa organik yang sesuai untuk ternakan vermikultur. Makanan ditambah secara menimbus di beberapa bahagian pada satu- satu masa. Mengisar sisa organik terlebih dahulu sebelum memberi makan boleh mempercepatkan proses makan dan penghasilan vermikas. Vermikas yang telah terhasil berwarna hitam, peroi, kaya humus dan telah hilang sifat asal sisa organik (gambar 22).


Gambar 19. Surat khabar lama yang telah dicarik sesuai menjadi makanan cacing tanah

Gambar 20. Rumput kering atau jerami padi juga sesuai sebagai media/makanan cacing tanah

Gambar 21. Sisa organik dari halaman, dapur, surat khabar lama sebagai bahan mentah/makanan cacing tanah

Gambar 22. Sisa organik yang diberi makan kepada cacing tanah bertukar menjadi baja organik yang berwarna hitam, kaya dengan humus dan nutrien tumbuhan

Sisa makanan boleh diberikan sekurang-kurangnya selama 2–3 bulan atau sehingga makanan bertukar menjadi vermikas. Tuaian cacing dan vermikas boleh dilakukan selepas itu dan kemudian bekas diisi lagi dengan bahan makanan.

Bekas ternakan tidak boleh dibiarkan terlalu padat dengan makanan untuk mengelakkan masalah bau busuk yang terbit kerana keadaan anaerobik. Petanda terbaik ialah bau. Bau busuk yang tidak menyenangkan, iaitu bau sampah mereput menandakan terlalu banyak makanan maka kekerapan memberi makan harus dikurangkan sementara waktu. Bekas juga harus sentiasa dibiarkan dalam keadaan lembap tetapi tidak terendam air. Makanan boleh ditimbuskan atau ditutup dengan daun kering, daun pisang, surat khabar lama atau kertas kotak untuk mengelakkan lalat rumah atau lalat najis bertelur dan menetas menjadi ulat.

Kawalan Suhu, Kelembapan dan Teduhan

Suhu bekas ternakan tidak boleh melebihi 30°C. Teduhan daripada hujan dan panas dengan bumbung atau penutup bekas dapat menurunkan suhu persekitaran sehingga 2–3°C. Daun kering, kepingan surat khabar lama, kertas kotak atau daun pisang boleh diletakkan untuk membantu menurunkan suhu persekitaran luar.

Penyiraman dengan air hanya perlu dilakukan jika bahan makanan menjadi kering. Untuk sisa dapur, penyiraman mungkin tidak perlu dilakukan kerana media yang semula jadi basah.

Tuaian Vermikas dan Cacing

Terdapat beberapa kaedah tuaian cacing dan vermikas seperti berikut:

1. Bubuh vermikas dan cacing ke sebelah bahagian bekas dan letak makanan pada sebelah yang satu lagi. Cacing pada sebelah vermikas akan bergerak ke arah punca makanan dengan ini vermikas boleh dituai.

2. Cara kedua ialah dengan meletakkan selapisan jaring di atas vermikas dan cacing. Makanan dibubuh di atas jaring tersebut. Cacing akan pergi ke tempat punca makanan di atas jaring dan dengan itu jaring boleh diangkat keluar dengan vermikas berada di bahagian bawah jaring.
3. Kompos disinari cahaya yang kuat atau diletak di bawah cahaya matahari yang cerah. Apabila cacing turun ke bawah maka vermikas di bahagian atas boleh dituai. Seterusnya dilakukan sehingga hanya cacing sahaja yang tinggal.

Menggunakan Vermikas

Berbeza dengan najis-najis haiwan lain, najis cacing tidak termasuk dalam kategori najis panas maka ia boleh digunakan sebaik sahaja tuaian diperoleh. Vermikas amat sesuai terutama untuk anak benih
tanaman memulakan hidup. Terdapat beberapa kaedah penggunaan vermikas seperti berikut:

1. Vermikas boleh digunakan untuk penyediaan media percambahan biji benih dengan campuran media percambahan biasa sebanyak 15%.

2. Vermikas digunakan seperti kompos dengan digaulkan selapisan nipis lebih kurang 1–2 cm vermikas di bahagian atas permukaan. Vermikas boleh digaul dengan media tanaman atau dibiarkan di bahagian atas tanah sebagai sungkupan. Siraman air akan melarutkan nutrien yang boleh diserap oleh akar tumbuhan.

3. Sebanyak 15% vermikas digunakan untuk penyediaan campuran media untuk anak benih yang baru bertumbuh. Vermikas sahaja tidak sesuai digunakan sebagai media penanaman.

4. Teh vermikas sesuai digunakan sebagai baja cecair. Campuran yang disarankan ialah dua sudu makan vermikas dengan satu liter air dibiarkan selama sehari dengan sentiasa digoncangkan. Digunakan sebagai renjisan ke atas tanaman. Teh vermikas juga boleh dikumpulkan dari tempat lelehan tong ternakan cacing tanah (gambar 23).

5. Semasa mengubah anak benih, akar anak pokok biasanya terdedah maka teh vermikas boleh disiram atau dicelup beberapa saat sebelum diubah ke tapak tanaman. Teh vermikas boleh membantu mengelakkan kejutan tanaman yang diubah ke tempat tanaman.

6. Untuk memperoleh faedah yang maksimum, vermikas harus disimpan dalam bekas yang mempunyai pengudaraan yang baik dan tidak dibiarkan mengering.


Gambar 23. Lelehan dari tong atau bekas verikultur dikumpulkan dan digunakan sebagai pestisid semula jadi dan baja cair

MASALAH VERMIKULTUR

Terdapat beberapa haiwan seperti serangga yang menduduki bekas pemeliharaan cacing ini. Kebanyakan serangga tersebut bersama-sama dengan kehadiran mikroorganisma dan cacing, mengurai bahan organik membentuk komponen yang lebih ringkas. Beberapa haiwan pengacau dan pemangsa harus diberi perhatian. Lalat buah memang menjadi suatu masalah biasa, walau bagaimanapun, ia tidak menjejaskan kehidupan cacing tanah. Lalat rumah, lalat najis dan larva boleh diatasi dengan menutup bekas sama ada dengan guni, daun kelapa, daun pisang atau surat khabar lama.

Lipan boleh menyengat dan membunuh cacing melalui sengatan, maka ia harus dihindarkan. Oleh kerana lipan ialah sejenis haiwan teritorial, maka jika ia dihapuskan mungkin tiada lagi lipan lain yang berhampiran teritorinya. Cicak juga suka memakan cacing terutama anak dan telur cacing. Bekas yang terlalu basah menarik kutu cacing maka kelembapan sekitar 60–70% adalah terbaik. Jika bekas terlalu panas maka cacing akan bergumpal dan naik keluar dari bekas. Sesuai atau tidak sesuai boleh ditentukan dengan kelakuan cacing tersebut.

Sekiranya bekas ternakan hanya mempunyai cacing dewasa sahaja tanpa pertambahan bilangan selepas 3–4 bulan ini menandakan telur dan anak cacing telah dimakan oleh pemangsa.
Haiwan-haiwan lain seperti burung, ayam, dan tikus juga suka mengganggu tempat ternakan dan memakan cacing. Kehadiran musuh cacing boleh dihindari dengan menutup bekas tersebut dengan menggunakan penutup berlubang kecil.

Peringatan

Cacing tanah ialah makhluk hidup yang mempunyai keperluan tersendiri yang unik. Keadaan persekitaran yang sesuai membolehkan ia hidup dan menjalankan fungsinya dengan baik. Keadaan persekitaran yang sempurna dapat dilihat apabila cacing makan dengan baik dan tidak menunjukkan tanda-tanda untuk naik ke atas, migrasi, bergumpal, keluar dari bekas atau berbau busuk. Cacing juga sensitif kepada getaran maka gangguan habitatnya perlu dihindarkan.