_

Thursday, March 25, 2010

KLINIK PERIKANAN di MAEPS, SERDANG, SELANGOR


Klinik Perikanan di MAEPS, Serdang Selangor
Diadakan setiap SABTU dan akan bermula semula pada 3 April 2010.
Untuk makluman tuan/puan bulan APRIL merupakan "Bulan Ternakan Keli"
Sekian untuk makluman. Terima kasih.


Wednesday, March 24, 2010

AKTIVITI APEEC & UPM 2010


UNTUK PROGRAM ANJURAN APEEC DAN UPM BAGI TAHUN 2010 (KURSUS, SEMINAR, BENGKEL & PERSIDANGAN) KALIAN BOLEH LIHAT DI RUANGAN 'PENGUMUMAN' DI SEBELAH KANAN.

SEKIAN UNTUK MAKLUMAN

Monday, March 22, 2010

PEMBANGUNAN LESTARI

Laporan Brutland pada tahun 1987 mendefinisikan pembangunan lestari sebagai “Pembangunan yang memenuhi keperluan generasi masa kini tanpa mengabaikan atau menafikan keperluan generasi akan datang”. Dalam konteks sumber tenaga utama yang digunakan pada masa kini terdapat dua persoalan yang perlu diajukan kepada penggubal dasar, ahli ekonomi, jurutera dan saintis iaitu sejauh manakah sumber tenaga yang digunakan kini releven dengan prinsip pembangunan lestari ? Adakah sumber tenaga utama yang digunakan kini dapat menampung keperluan generasi akan datang?

Menurut pandangan Dr. Jose Goldemberg iaitu Profesor di Universiti SaƵ Paulo, Brazil terdapat dua konsep penting yang diketengahkan dalam definisi pembangunan lestari. Iaitu yang pertama ialah konsep ‘keperluan’ yang secara khususnya merujuk kepada keperluan asas untuk kehidupan manusia pada masa kini dan akan datang. Kedua ialah konsep atau idea mengenai keterbatasan atau dalam bahasa inggeris dikenali sebagai ‘limitation’. Iaitu keterbatasan sesuatu sumber yang dipengaruhi oleh teknologi, dan organisasi sosial serta kemampuanya untuk memenuhi keperluan generasi kini dan akan datang.

Dunia kini amat bergantung kepada penggunaan bahan api fosil seperti minyak petroleum, arang batu dan gas asli sebagai sumber utama tenaga dunia. Persoalanya adakah ketiga – tiga sumber tenaga utama ini memenuhi definisi pembangunan lestari? Sumber tenaga lestari boleh ditakrifkan sebagai sumber tenaga yang boleh memenuhi keperluan manusia pada masa kini tanpa mengabaikan atau menafikan keperluan generasi akan datang. Dalam masa yang sama ia tidak memberi kesan terhadap pencemaran alam sekitar.


Dalam hal ini Dr. Jose Goldemberg dalam tulisannya yang bertajuk “Energy Choices Toward A Sustainable Future” menyenaraikan empat kriteria utama yang perlu diambil kira untuk sesuatu sumber tenaga itu diiktiraf sebagai sumber tenaga lestari.

Pertama dari sudut fizikal, yakni ia mestilah mempunyai jaminan bekalan tenaga yang mencukupi bagi memenuhi keperluan masa kini dan akan datang. Ini kerana keperluan tenaga pada masa akan datang sudah tentu akan meningkat. Dianggarkan peningkatan permintaan sumber tenaga dunia akan meningkat sebanyak dua kali ganda pada masa akan datang. Ini berdasarkan perkembangan populasi manusia yang akan mencecah jumlah 9.2 bilion orang pada tahun 2050.

Kriteria yang kedua ialah dalam konteks impaknya terhadap alam sekitar. Sejauh mana sesuatu sumber tenaga itu dianggap bersih dan tidak mencemarkan alam sekitar perlu diambil perhatian. Ia juga bermaksud sesuatu sumber tenaga yang digunakan itu seharusnya tidak memberikan implikasi yang buruk terhadap masalah alam sekitar di peringkat tempatan, benua dan global. Sesuatu tenaga itu juga mestilah tidak menimbulkan dan menambah bebanan terhadap masalah alam sekitar yang sedang melanda dunia pada masa kini, seperti pemanasan global dan perubahan iklim.

Kriteria ketiga ialah penggunaan sumber tenaga yang dianggap lestari, seharusnya tidak mencetuskan sebarang ketegangan diantara wilayah dan negara. Ia mestilah jauh daripada sebarang risiko keselamatan dan tidak mencetuskan sebarang konflik. Ini kerana konflik boleh wujud disebabkan oleh persaingan dan peningkatan permintaan. Ini seterusnya mengundang implikasi terhadap ketidakseimbangan dalam pengagihan sumber tenaga. Akibatnya ada negara yang melakukan manipulasi dan konspirasi terhadap pasaran sumber tenaga.

Kriteria keempat bagi sumber tenaga lestari harus dilihat dalam konteks kesaksamaan ataupun keadilan sosial. Dimana sumber tenaga ini hendaklah mampu diakses oleh semua peringkat masyarakat. Sumber tenaga lestari mestilah mampu menawarkan perkhidmatan yang boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat setanding dengan kemajuan teknologi sedia ada.


Bahan api fosil (arang batu, minyak dan gas asli) pada masa kini digunakan sebagai sumber tenaga utama iaitu sebanyak 80.1 % dari keseluruhan tenaga dunia. Manakala bagi tenaga nuklear adalah sebanyak 6.3 % dan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 13.6%. Apabila analisis dibuat secara mendalam didapati sumber tenaga utama dunia yang digunakan pada masa ini tidak mampu memenuhi keempat-empat kriteria ini.

Terdapat beberapa sebab mengapa ia tidak boleh dianggap sebagai sumber tenaga lestari. Sebab yang paling utama adalah kemampuanya untuk memenuhi keperluan generasi akan datang. Bahan api fosil yang digunakan sebagai sumber tenaga utama dunia akan kehabisan dalam beberapa dekad akan datang. Ini berikutan peningkatan permintaan yang cukup tinggi di seluruh dunia. Sehingga kini dilaporkan minyak mempunyai jangka hayat tampungan selama 41 tahun lagi, gas asli 64 tahun dan arang batu 155 tahun. Permintaan bagi bekalan tenaga utama dunia ini dijangka akan meningkat sebanyak 1.6 % pada tempoh 1980 hingga 2030.

Walaupun arang batu dilihat mempunyai jangka hayat tampungan yang lebih panjang ini tidak bermakna ia boleh dipertimbangkan sebagai sumber utama tenaga lestari untuk dua generasi akan datang. Ini bermakna ia masih tidak dapat memenuhi prinsip pembangunan lestari yang merujuk kepada ”memenuhi keperluan generasi masa kini tanpa mengabaikan atau menafikan keperluan generasi akan datang”. Tambahan pula pembakaran bahan api fosil akan menghasilkan masalah alam sekitar yang serius melalui penghasilan gas rumah hijau seperti gas karbon dioksida. Ia juga bakal menambahkan keperitan ekosistem alam sekitar yang kini semakin sakit oleh kesan pemanasan global.

Kos pengeluaran bahan api fosil pula dijangka akan terus meningkat apabila simpanan sumber tenaga ini semakin kehabisan. Ia berlaku disebabkan peningkatan kos operasi bagi mencari sumber bekalan tenaga yang semakin berkurangan. Akhirnya, situasi ini akan mendorong berlakunya ancaman terhadap keselamatan bekalan sumber tenaga, serta turut menghasilkan ketegangan dan ketidakstabilan politik disesetengah wilayah di dunia.

Jesteru itu dunia kini amat memerlukan suatu transformasi sumber tenaga lestari yang memenuhi empat kriteria seperti yang disebutkan tadi. Mampukah manusia melakukan transformasi kepada sumber tenaga yang benar – benar boleh diiktiraf sebagai sumber tenaga lestari ?

Persoalan ini akan hanya mampu dijawab melalui aktiviti ‘rekacipta’ dan ’inovasi’ yang seharusnya diberikan keutamaan penting. Rekacipta bermaksud aktiviti mereka dan mencipta sesuatu yang baharu untuk kegunaan dan manfaat manusia. Istilah inovasi pula berakar dari asal kata bahasa Latin 'innovare' yang bererti 'mengubah, memperbaharui' yang juga berkait rapat dengan aktiviti merekacipta sesuatu karya, peralatan, kemudahan, perisian, sistem atau idea. Rekacipta dan inovasi bermula dengan idea yang bernas. Sesiapa sahaja yang mempunyai idea dan keberanian boleh melakukan rekacipta dan inovasi.

Namun dalam konteks membangunkan sumber tenaga lestari, idea sahaja tidak mencukupi untuk menjayakanya. Idea untuk merekacipta dan melakukan inovasi perlu diterjemahkan dalam bentuk yang lebih praktikal serta mampu diterima pakai oleh semua lapisan masyarakat. Inovasi merupakan perkara terpenting yang menggerakan kemajuan tamadun dunia pada hari ini. Seandainya tiada sebarang inovasi dilakukan dunia akan kekal pada tahap yang lama.

Pada ketika ini inovasi diperlukan dalam pelbagai bidang. Rekacipta dan inovasi dilakukan untuk meningkatkan kualiti produk, membentuk pasaran baru ekonomi, menambahkan pelbagai jenis produk, mengurangkan kos pekerja, memajukan proses pengeluaran industri, mengurangkan pengunaan bahan mentah dalam industri, mengurangkan pencemaran alam sekitar dan memanimakan penggunaan sumber bahan api.

Sejak berkembangnya penggunaan sumber bahan api fosil secara global, inovasi kepada sumber tenaga lestari dikalangan masyarakat dunia seakan – akan hilang. Ini disebabkan pergantungan sepenuhnya terhadap sumber bahan api fosil. Manakala pembangunan rekacipta dan inovasi sumber tenaga lestari kelihatan agak pegun. Manusia lebih banyak menumpukan kepada peralatan, mesin, loji dan kenderaan pengangkutan yang menjadikan bahan api fosil sebagai sumber tenaga utama.

Kesedaran mengenai kelestarian tenaga sebenarnya pernah disuarakan seawal tahun 1873 oleh Augustine Mouchot seorang Jurutera dari perancis yang menyatakan bahawa “Masanya akan tiba apabila industri di Eropah akan menguncup untuk mencari sumber – sumber asli,yang diperlukan oleh mereka. Petroleum dan arang batu tidak kehabisan tetapi dengan pantas akan berkurangan dikebanyakan tempat. Adakah manusia akan kembali semula kepada tenaga air dan angin ? Atau manusia mungkin bertukar menggunakan sumber tenaga kuasa yang paling hebat iaitu haba yang memancar ke bumi ? Sejarah akan menunjukan apa yang akan berlaku.”

Sehinggalah era tahun 1980an manusia mulai sedar untuk melakukan penyelidikan dan inovasi baharu. Ini berikutan krisis tenaga yang mula menghantui dunia bermula pada tahun 1973. Manusia mulai bimbang dan menjangkakan krisis tenaga akan mencengkam kehidupan manusia di masa depan. Pada masa itu tenaga boleh diperbaharui seperti angin, ombak dan solar mula diperkenalkan di negara maju. Tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) dilihat menepati ciri yang diiktiraf sebagai tenaga lestari. Ini kerana ia bertepatan dengan prinsip pembangunan lestari.

Walaubagaimanapun penggunaanya masih belum meluas. Sehingga tahun 2004 penggunaan tenaga boleh diperbaharui adalah sebanyak 13.6 %. Sekiranya inovasi tidak dilakukan masyarakat dunia bakal berhadapan dengan persaingan untuk mendapatkan keperluan sumber tenaga dan krisis alam sekitar yang semakin teruk pada masa akan datang.


Bagi menyokong aktiviti rekacipta dan inovasi terdapat empat aspek yang perlu dibangunkan dan diberi keutamaan. Iaitu teknologi, modal insan, pelaburan dan polisi. Melalui teknologi, manusia boleh melakukan penyelidikan dan pembangunan bagi melakukan rekacipta dan inovasi terhadap sumber tenaga lestari. Kelengkapan makmal yang khusus untuk mengadakan penyelidikan amat diperlukan. Tanpa sebarang teknologi suatu penciptaan baharu dan inovasi agak mustahil untuk dijayakan.Teknologi boleh diibaratkan sebagai pemangkin untuk mempercepatkan aktiviti rekacipta dan inovasi.

Modal insan, pula lebih merujuk kepada ilmu dan kemahiran manusia untuk melakukan rekacipta dan inovasi. Dalam hal ini pembangunan modal insan harus digembeling dengan memperbanyakan kursus yang menawarkan ilmu dan kemahiran baharu terutamanya dalam bidang kejuruteraan nano, bioteknologi dan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy). Penyelidikan diperingkat institusi pengajian tinggi harus disemarakan dengan baik. Pertandingan rekacipta dikalangan penyelidik harus dibudayakan bagi menyuburkan budaya rekacipta dan inovasi. Walaubagaimanapun, penyelidikan dalam bidang sumber tenaga lestari tidak seharusnya dijadikan kajian ilmiah untuk pertandingan semata – mata. Malah ia perlu mampu dipaten dan dikomersilkan dengan baik.

Salah satu aspek yang penting juga ialah pelaburan, ia merupakan modal penting dalam menjayakan suatu penyelidikan rekacipta dan inovasi. Proses rekacipta dan inovasi memerlukan masa penyelidikan yang agak lama. Ia melibatkan pembangunan infrastruktur, prototaip, model dan lojipandu. Ia sudah tentu memerlukan kos yang agak tinggi. Dalam hal ini keberanian untuk melabur dalam bidang penyelidikan amat dituntut sekali.

Disamping itu juga polisi dan dasar berkaitan penggunaan dan pembangunan sumber tenaga disesebuah negara juga menjadi faktor penggerak kepada rekacipta dan inovasi sumber tenaga lestari. Polisi kerajaan yang memberikan penumpuan terhadap penggunaan tenaga yang boleh menjamin kelestarian alam sekitar amat diharapkan. Ini termasuklah dengan memberikan insentif kepada industri yang menggunakan tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan penggunaan tenaga.

Ia sekaligus akan merangsang masyarakat untuk melakukan aktiviti penyelidikan dalam penggunaan sumber tenaga lestari seperti tenaga solar, hidrogen, biojisim, geoterma, angin dan ombak. Pelan tindakan dan perancangan ke arah penggunaan sumber tenaga lestari seharusnya di terapkan dalam pembangunan sesebuah negara. Oleh itu polisi dan dasar pembangunan tenaga yang menjurus kepada penggunaan tenaga lestari harus diwujudkan sebagai polisi dan dasar sesebuah negara.

Dalam konteks negara kita budaya inovasi dalam bidang teknologi perlu disuburkan . Mengikut kajian yang dijalankan oleh Economist Intellgence Unit yang berpusat di London, Malaysia tersenarai ditempat ke 31 daripada 82 negara mengikut kedudukan Indeks Prestasi Inovasi dengan Negara Jepun, Switzerland dan Findland menduduki tempat tiga teratas. Indeks prestasi ini dihunaka untuk mengukur output inovasi yang dihasilkan oleh sesebuah negara berdasarkan data paten antarabangsa. Secara perbandinganya Jepun di tempat teratas mempunyai indeks paten inovasi sebanyak 1,274.533 paten per sejuta orang dan Malaysia 4.237 paten per sejuta orang.

Sejajar dengan usaha untuk membangunkan tenaga lestari seluruh dunia wajib mengurangkan pergantungan kepada penggunaan bahan api fosil. Usaha inovasi harus dilakukan dengan bersungguh – sungguh untuk memastikan sumber tenaga lestari dapat dibangunkan sesuai untuk keperluan generasi kini dan akan datang. Hal ini menuntut untuk para penggubal dasar, ahli ekonomi, jurutera dan saintis berganding bahu melipatgandakan usaha bagi menjayakan aktiviti rekacipta dan inovasi untuk sumber tenaga lestari.


Rujukan :

[1] Jose Goldemberg. “Energy Choices Toward A Sustainable Future”. Environment Magazine
Disember 2007.
[2] Bruntland, G (ed) (1987). “Our Common Future”: The World Commission on Environment
and Development, Oxford: Oxford University Press.
[3] Solar, Wind and Bioenergy
http://www.runet.edu/~wkovarik/envhist/RenHist/index.html - diakses pada 17 Ogos 2009.
[4] Global Status Report on Local Renewable Energy Policies , 12 June 2009
Comments and Additional Information Invited, The Insititute of Sustainable Energy Policy .
[5] Economist Intelligence Unit Limited. A new ranking of the world’s most innovative countries.
The Economist April 2009.
[6] Zaini Ujang, “Lima pendekatan bina budaya inovatif Malaysia”,Berita Harian 15, Ogos 2009

BIOJISIM DAN BIOKOMPOSIT PADI


Pada masa dahulu sisa sekam dan jerami padi akan dilupuskan oleh para petani dengan cara pembakaran terbuka. Kaedah ini agak mencemarkan alam sekitar dan boleh menjejaskan kualiti udara.

Bagi mengatasi masalah ini beberapa alternatif dijalankan iaitu dengan melaksanakan kitar semula jerami padi untuk dijadikan sebagai baja kompos. Selain itu terdapat kegunaan lain sisa padi secara komersil dilaksanakan. Antaranya ialah penggunaanya sebagai tenaga biojisim dan biokomposit.

Sisa padi seperti jerami dan sekam mempunyai potensi yang tinggi untuk di komersilkan. Ada dua potensi penting sisa padi ini iaitu tenaga biojisim dan biokomposit dalam pembuatan perabot.

Tenaga biojism ditakrifkan sebagai tenaga yang dihasilkan daripada pereputan bahan – bahan organik seperti tumbuhan dan haiwan. Sekam dan jerami padi boleh dijadikan sebagai bahan api untuk memanaskan dandang pada loji janakuasa tenaga.

Manakala sekam padi pula mempunyai sifat – sifat yang baik untuk dijadikan bahan tambah dalam pembuatan komposit seperti papan partikel dan siling. Penggunaan sisa sampingan industri padi ini berupaya meningkatkan pendapatan ekonomi disamping menyelamatkan alam sekitar dari terus tercemar.