_

Thursday, October 15, 2009

PANDUAN MEMBUAT TELUR MASIN

Pendahuluan Telur masin adalah telur yang diawet yang disediakan dari telur itik.

Telur masin merupakan makanan yang berkhasiat.

Proses pengawetan telur masin adalah satu proses yang mudah, ringkas dan menguntungkan.

Proses yang dilakukan tidak melibatkan peralatan yang mahal.

Memandangkan kandungan zat pemakanannya yang tinggi, telur masin amatlah sesuai dijadikan sumber makanan protin.

Bahan Mentah Bahan yang diperlukan untuk mengeluarkan 2500, 500 atau 100 biji telur masin:-

BAHAN

  • Telur Itik (biji) 2500 500 100
  • Garam Halus (kg) 18.0 3.6 0.72
  • Tanah Liat kering (tanah warna kuning) (kg) 22.5 4.5 0.70
  • Air (liter) 15 5.0 0.60
  • Sekam Padi yang dibakar hitam (kg) 6.25 1.25 0.25

Cara memproses

  1. * Telur itik dipilih dari jenis bermutu tinggi. Telur yang mempunyai kuning telur yang kemerah-merahan adalah lebih sesuai kerana ia akan menghasilkan telur yang bermutu tinggi.
  2. * Telur dibasuh untuk membersihkan segala kotoran yang melekat pada kulitnya.
  3. * Tanah liat dikeringkan, ditumbuk halus dan diayak untuk memudahkan penyediaan perekat (paste).
  4. * Perekat disediakan dengan membancuh tanah liat, garam halus dan air di dalam bekas sehingga sebati.
  5. * Telur dicelup ke dalam perekat agar satu lapisan perekat menyaluti telur tersebut.
  6. * Telur tersebut kemudiannya digolekkan di atas sekam padi bakar (hitam) sehingga keseluruhan telur tadi disaluti sekam padi dan lapisan asal (perekat) tidak tanggal.
  7. * Telur dimasukkan ke dalam kotak kayu dan disimpan selama 25 - 30 hari sebelum dijual.

TERNAKAN ITIK TELUR

Menternak itik tidaklah begitu sukar sebagaimana menternak ayam. Itik mempunyai daya hidup yang tinggi dan tidak mudah diserang penyakit. Cara pemeliharaan dan pengurusannya mempunyai sedikit perbezaan dan lebih mudah jika dibandingkan dengan ternakan ayam.

PEMILIHAN BAKA

Baka itik merupakan faktor penting bagi menentukan pengeluaran yang baik. Anak-anak dari pengeluar atau pusat-pusat penetasan yang diakui keunggulan performannya hendaklah diperolehi.

Ciri-ciri baka itik penelur yang berkualiti ialah:-

  • mempunyai daya hidup yang tinggi
  • bebas dari kecacatan
  • penghasilan telurnya adalah baik (kira-kira antara 260 - 300 biji setahun)
  • menghasilkan telur yang berkualiti
  • berat antara 65 - 75 gm sebiji
  • kulit telur adalah keras
  • warna kuning telur kemerah-merahan
  • saiz badannya sederhana. Berat badan semasa bertelur di antara 1.3 - 1.8 kg
  • ruang antara tulang punggung (pelvic) adalah luas.

Baka-baka itik telur yang sesuai adalah kacukan Khaki Champbell dari Thailand, Taiwan dan Australia.

PERUMAHAN DAN PERALATAN

Rumah itik haruslah mempunyai ciri-ciri berikut:-

  • Peredaran udara yang sempurna. Peredaran udara yang baik dapat menolong mengeringkan kelembapan dan menghapuskan gas amonia dari najis itik
  • Saiz rumah mestilah sesuai dengan jumlah itik yang hendak dipelihara. Jangan membina rumah itik dengan terlalu sempit atau terlalu besar. Saiz yang sesuai bagi seekor itik dewasa ialah 3 - 4 kaki persegi.
  • Seelok-elok ia hendaklah didindingkan. Dinding yang sesuai ialah lebih kurang 3 kaki dari paras lantai. beberapa buah pintu perlulah dibuat menghala ke kawasan lapang. Tujuan pintu ialah bagi mempastikan semua itik-itik dapat dikurung di dalam reban pada malan hari supaya selamat dari musuh dan tidak bertelur dimerata-rata yang boleh menyebabkan telornya kotor dan hilang.
  • Rumah itik mestilah mempunyai rekabentuk yang sesuai supaya mudah penternak keluar masuk membersih, merawat dan mengumpul telur.

PERALATAN

Induk palsu antaranya:

anak itik yang baru menetas. sumber: ayam belanda utara

  • Hover, Infrared, Bulb yang tinggi kuasa, Lampu minyak tanah,
  • Bekas makanan/minuman (sama seperti peralatan ayam)
  • Sarang bertelur
  • Lain-lain seperti bekas telur, baldi, sekop pembancuh makanan dan sebagainya

PEMAKANAN

Satu lagi faktor penting dalam menentukan penghasilan dan kejayaan projek ialah pemakanan. Pemakanan adalah faktor yang boleh dikawal bagi mendapatkan hasil yang memuaskan. Dari segi ekonominya pula makanan akan menentukan kos pengeluaran. Oleh itu penternak mestilah pandai menilai jenis-jenis makanan yang baik danmenjimatkan perbelanjaan di dalam mengendalikan projek.

Terdapat 2 jenis makanan yang sesuai untuk itik telur.

  • Makanan komersil
  • Makanan campuran sendiri

1.Makanan Komersil

Ialah makanan yang dikeluarkan oleh kilang pembuat makanan ternakan yang mana ianya mempunyai zat-zat keperluan mengikut umur dan jenis ternakan.

Umur


Jenis Makanan


Kandungan

Protin

Tenaga

0 - 2 minggu “Duck Starter”

20 %

2700-3000

2 - 3 minggu “Duck Starter” dicampur “Duck Grower”

-

-

4 - 16 minggu “Duck Grower”

16 %

2500 - 2800

16 minggu dan semasa bertelur “Layer”

17 %

2600 - 2900

2. Makanan Campuran Sendiri

Satu rumusan makanan yang mengandungi zat-zat keperluan dari bahan-bahan yang murah didapati dan diadun sendiri bagi penghasilan dan kesihatan yang baik.

Bahan-bahan:-

Beras hancur (temukut), dedak padi, baja ikan, baja udang, serbuk kacang soya, layer premix vitamin dan galian, batu kapur, jagung, synthetic pigment dan lain-lain .

Anggaran seekor itik memerlukan makanan seperti berikut:-

Umur


0 - 4 minggu 1.2 kg. - 1.6 kg.
5 minggu - 22 minggu 11.0 kg - 11.8 kg
22 minggu ke atas (semasa bertelur) 160 hingga 170 gm bagi tiap-tiap seekor/hari

Bagi itik telur, mengawal makan perlulah dilakukan sejak umurnya 7 minggu. Kawalan makanan boleh juga dilakukan dengan melihat berat badan itik tersebut berat yang sesuai bagi itik yang sedang bertelur ialah diantara 1.3 kg hingga 1.75 kg. (bagi itik Khaki Cambell berat maksima ialah 1.95 kg).

KESIHATAN DAN KAWALAN PENYAKIT

Itik boleh juga diserang penyakit. Kawalan haruslah dilakukan bagi mengelakkan dari terkena serangan penyakit iaitu:-

  • Menjaga kebersihan ladang setiap masa
  • Memberi makanan yang baru bermutu dan tidak berkulat
  • Memberi air bersih. Air yang mengandungi ubat ” antistress” harus diberi pada umur itik 1 - 3 hari.
  • Itik yang menunjukkan tanda sakit perlulah diasingkan untuk rawatan atau pun di takai
  • Mencuci reban dengan pembasmi kuman seperti lysol, lindoress sebelum ketibaan anak- anak itik yang baru
  • Menghubungi Jabatan Perkhidmatan Haiwan jika terdapat tanda-tanda penyakit.

KEPERLUAN CAHAYA

Cahaya adalah penting dalam penternakan itik penelur. Cahaya boleh didapati dari cahaya semulajadi iaitu matahari dan juga cahaya tambahan iaitu lampu pada malam hari.

2 sebab cahaya mustahak pada malam hari ialah:-

  • Untuk menerangi seluruh kawasan bangsal bagi mengurangkan tabiat itik yang mudah terperanjat dengan sesuatu benda asing atau bunyi di dalam suasana gelap.
  • Mempercepatkan dan menambahkan pengeluaran telur

Itik-tik telur yang berumur 20 minggu ke atas memerlukan sekurang-kurangnya 16 jam cahaya secara terus menerus. memandangkan tempoh cahaya pada waktu siang ialah lebih kurang 12 jam maka, adalah dicadangkan supaya tambahan 3 - 4 jam lagi boleh diperolehi dari cahaya lampu yang dipasang di dalam bangsal.

  • Keperluan cahaya/kuasa lampu letrik ialah sebanyak 250 watt/1000 kaki persegi.
  • Jarak di antara lantai dengan lampu letrik ialah 7 kaki
  • Jika perlu penternak boleh menggunakan suis jangka (time switch) bagi memudahkan pengurusan cahaya lampu ini.

PENGURUSAN

Pengurusan yang cekap menitikberatkan segala aspek pengurusan bagi mencapai satu tahap penghasilan yang maksima dengan kos pengeluaran yang minima. Aspek-aspek ini melibatkan pengendalian:

  • Persediaan sebelum ketibaan anak itik
  • Pemeliharaan semasa perindukan
  • Pengurusan semasa membesar
  • Pengurusan semasa bertelur

Persediaan Sebelum Ketibaan Anak Itik

  • Sediakan alat pembentung untuk induk palsu. (3 meter garispusat boleh memuatkan 500 ekor anak itik)
  • Sediakan abuk papan/jerami padi di dalam pembentung setebal 3 - 4 inci.
  • Sediakan air minum dan pasangkan alat pemanas 2 - 3 jam sebelum anak itik sampai.

Pemeliharaan Semasa Perindukan

  • Anak itik perlu diberi minum terlebih dahulu. Selepas 1/2 jam baharulah anak itik boleh diberi makan.
  • Masa perindukan adalah selama 20 - 25 hari. Pasangkan alat pemanas seperti biasa. Lihat taburan anak itik untuk menentukan tahap kepanasan yang diperlukan.
  • Beri antistress selama 3 hari.
  • Beri makanan duck starter crumble tanpa had
  • Pembentung perlu dibesarkan mengikut saiz itik dan tambah bilangan bekas makan dan minum ikut kesesuaian.
  • Pastikan alas lantai sentiasa kering dan balik-balikan.

Pengurusan Semasa Membesar

  • Keluarkan alat pemanas dan pembentung
  • Tukarkan bekas makan dan minum dengan bekas yang besar
  • Alas lantai (habuk papan) hendaklah sentiasa kering
  • Beri makanan Grower Pellet atau jika menggunakan makanan campuran pastikan mengandungi 16 % protin dan Tenaga 2500 - 2800k/cl
  • Timbang 2 - 3 ekor itik dalam satu kumpulan untuk menentukan berat .
  • Itik yang berumur 7 minggu hendaklah dikawal sukatan makanannya supaya tidak terlalu gemuk sehingga tidak boleh bertelur.

Pengurusan Itik Semasa Bertelur

Itik akan mula bertelur apabila berumur 20 - 22 minggu. Oleh itu :-

  • Beri makanan jenis Layer Pellet. Jika menggunakan makanan campuran pastikan mengandungi 2600 - 2900 k/cl.
  • Makanan ini hendaklah dimulakan pada umur itik 16 minggu atau 4 - 5 minggu sebelum bertelur.
  • Bagi makanan mengikut sukatan yang betul (150 - 170 gm sehari /ekor.
  • Lain-lain makanan tambahan seperti rumput dan sayuran elok dicampur sama
  • Bagi menentukan mutu telur bahan pewarna Synthetic Pigment boleh dicampurkan ke dalam makanan (100 gm SP + 100 kg makanan campuran sendiri)
  • Masukkan sarang bertelur (1 kotak = 5 ekor itik)
  • Kurung itik di dalam kandang setiap malam supaya tidak bertelur merata-rata
  • Pungut telur setiap pagi sebelum diberi makan
  • Semak keperluan cahaya mengikut umur itik

PENGHASILAN

Hasil-hasil yang boleh di dapati dari projek menternak itik ialah :-

Telur Itik Segar

Boleh dijual kepada pemborong atau kedai membuat kek tempatan atau orang persaorangan. Telur itik digredkan dengan mengambil kira dari segi kekuningan isi telur Ini boleh dilihat melalui pengukur warna (Kipas roche) Telur yang bermutu di pasaran ialah di antara 13.6 - 15.0.

Telur Masin

  • Telur masin adalah telur yang diawit untuk dimakan atau disimpan lama. harganya adalah lebih baik dari telur segar.
  • Cara untuk memproses telur masin boleh di dapati di bahagian penerbitan.

PENGURUSAN REKOD

Menyimpan rekod adalah sangat mustahak. Rekod catatan adalah satu daripada beberapa perkara yang mesti bagu mengujudkan satu pengurusan yang sempurna. melalui rekodlah sesuatu projek diberi penilaian samada menguntungkan atau sebaliknya. Disamping itu rekod adalah perlu bagi memberi gambaran untuk merancang masa hadapan.

Terdapat 2 jenis rekod yang diberi keutamaan

  • Rekod pemeliharaan/pengurusan
  • Rekod kewangan

Wednesday, October 14, 2009

PENANAMAN TAUGEH

Panduan Menanam Taugeh

Tauge merupakan sejenis makanan daripada percambahan kekacang atau bean sprout sama ada daripada kacang hijau (vigna radiata) atau kacang hitam (vigna mungo) yang diimport dari Thailand atau Cina. Kajian menunjukkan penghasilan tauge merupakan satu bidang usaha yang berdaya maju. Faktor-faktor yang mempengaruhi penghasilan tauge perlu diberi pengamalan dan dilihat pada setiap peringkat proses pengeluaran.

Kaedah dan Pemerhatian:

Walaupun proses penghasilan tauge nampak mudah, hampir setiap peringkat pemprosesan mempunyai kesan kepada penghasilan. Pemilihan lokasi yang betul dari segi sumber air dan luang pasaran adalah untuk memastikan projek yang berterusan. Bahan mentah terutama benih kacang mestilah bernas dan bersaiz besar bagi mendapatkan hasil yang baik dan diperolehi secara berterusan dengan harga yang berpatutan.

Aktiviti mengasing dan membasuh perlu dibuat dengan teliti sebelum kacang direndam. Tempoh rendaman 6-8 jam dengan larutan hormon pembesaran Sontoso sudah memadai dan menggaul dengan Siako (selepas mengetos) sebelum peringkat mencambah, boleh memberikan hasil yang paling tinggi di mana 11 kg. benih menghasilkan 8.7 kg. tauge dan keperluan air siraman menjadi lebih rendah dibandingkan dengan hanya menggunakan hormon. Untuk percambahan, penggunaan tong-tong plastik yang telah digunakan atau recycle container yang tebal dan tidak lut cahaya lebih baik kerana ia tahan lasak dan memberi lindungan yang secukupnya pada tauge untuk bercambah.

Proses Pengeluaran Tauge

Menyediakan persekitaran dan lokasi
|
Mendapatkan bahan mentah (kacang hijau / kacang hitam)
|
Mengasingkan benih (benda asing, kacang rosak, batu dan sampah)
|
Membasuh (hingga kacang benar-benar bersih)
|
Merendam (6-8 jam menggunakan larutan hormon jika mahu, 1.5% Sontoso)
|
Mengetos (digaul dengan 1% Siako)
|
Mencambah (4-6 hari dalam bilik yang gelap dan suhu rendah serta tong bersesuaian)
|
Menyiram (2-4 jam sekali)
|
Mengasingkan kulit
|
Membungkus
|
Menjual

Pertambahan jarak masa siraman dan pemberhentian siraman selepas tengah malam boleh menyebabkan hasil tauge rendah. Pemerhatian yang dijalankan di PKT Serdang menunjukkan jarak antara siraman 3 dan 4 jam memberikan hasil tauge 6.4 kg dan 5.3 kg berbandingan dengan 8.7 kg. tauge pada jarak masa siraman 2 jam.

Tauge yang telah matang boleh diasingkan dari kulitnya dengan mudah dan tauge yang dituai hendaklah terus ditoskan selama satu hari sebelum dibungkus supaya kering kerana tauge lebih tahan dijual secara kering. Tauge yang hendak dijual hendaklah dipastikan supaya sampai kepada pengguna dalam keadaan segar.

PENGHASILAN TAUGE CARA AUTOMATIK
Sumber: Dipetik dari Akhbar Tani Bil. 1/2001

Dalam pengeluaran tauge, antara masalah yang dihadapi ialah ketidak seragaman waktu penyiraman, isipadu air siraman yang tidak konsisten, kegagalan menyiram pada waktu malam, penggunaan buruh yang intensif, hasil tidak konsisten, tempoh pengeluaran yang lebih panjang dan pengasingan kulit biji daripada tauge. Hasil tauge kurang berkualiti iaitu tauge yang halus, akar panjang, akar pendek, kulit atau testa terlekat pada tauge dan tidak tahan disimpan lama. Kualiti tauge yang dikeluarkan secara manual berubah kerana suhu dalam tong percambahan tidak menentu. Suhu dipengaruhi oleh kekerapan siraman dan kuantiti air.

Bagi memudahkan kerja menyiram tauge serta meningkatkan hasil dan kualiti tauge, sekumpulan pegawai yang diketuai oleh Encik Amat Khri bin Mardi, Penolong Pegawai Pertanian Kanan dari Institut Pertanian Ayer Hitam, Johor telah merekacipta Set Pengeluaran Tauge Automatik (SepTA) yang membolehkan siraman dijalankan secara automatik dengan kos sebanyak RM500.00.

Sistem Pengairan

SepTA terdiri daripada tiga (3) komponen asas iaitu sistem pengairan, pelaras masa Galcon (timer) dan tong penanaman. Sistem pengairan ini digunakan bagi memudahkan kerja siraman air secara berjadual dan kuantiti air siraman yang sekata dapat dilakukan secara automatis. Secara umumnya, bahagian dan peralatan bagi sistem ini ialah PVC tubing, injap kawalan (control valves) dan nozel kabus. Punca air diperolehi daripada paip air rumah.

Setiap unit asas sistem ini mengandungi empat (4) cabang aliran air keluar di mana setiap satunya mempunyai injap kawalan. Empat aliran air keluar diselaraskan dengan tempoh pengeluaran tauge di dalam tong percambahan iaitu selama 4 hari. Susunan boleh diubahsuai tetapi untuk pengeluaran berterusan (harian) mesti mempunyai 4 arah aliran air keluar.

Nozel yang digunakan ialah jenis 'spray jet' dan bersambung kepada 'rigid riser'. Pada tekanan 10-15 psi, nozel ini menghasilkan semburan berbentuk kabus (mist) dan menyiram air dengan kadar 50 liter/jam. Nozel jenis ini amat sesuai untuk siraman tauge kerana siramannya sekata, kadar aliran yang tetap dan isipadu siraman yang rendah. Siraman selama 5 minit dengan kekerapan 90 minit sekali, selama 4 hari hanya menggunakan sebanyak 270 liter air sahaja.

Pelarasan Masa Galcon (Timer)

Pelaras masa (Timer) jenis Galcon ialah alat yang mengawal masa bagi membolehkan sistem pengairan dapat membuat siraman secara automatik. Dengan berbekal kuasa dua biji bateri 9V, pelaras masa Galcon mempunyai kawalan masa minimum sehingga 5 minit. Jangka hayat minimum bateri ialah 15 bulan. Kuasa bateri hanya diperlukan untuk membuka 'solonoid valve' sahaja. Penutupan semula berlaku dengan tolakan spring. Alat kawalan ini amat mudah digunakan. Hanya 2 pelarasan sahaja perlu dibuat iaitu tempoh siraman dan kekerapan siraman.

Tong Penanaman

Tong yang digunakan ialah tong plastik berwarna hitam berukuran 30 liter dengan ketinggian 60 cm (seperti tong sampah). Bahagian penutup tong ditebuk untuk memasukkan nozel penyembur. Bahagian bawah tong, dibuat 20-30 lubang bergaris pusat 4-5 mm. Lubang ini bertujuan mengalir air siraman keluar. Tong yang digunakan mesti berwarna hitam kerana keadaan gelap dalam tong diperlukan untuk percambahan tauge.Dengan tong ini, kuantiti benih kacang yang boleh dimasukkan ialah 1.5 - 2.0 kg dan kapasiti pengeluaran tauge ialah 10 - 15 kg setiap tong. (Setiap 1 kg. benih kacang boleh menghasilkan 7-9 kg. tauge).

Operasi SePTA

Secara ringkasnya, operasi SePTA adalah seperti berikut:-

  1. Sambungkan sistem pengairan SePTA kepada paip bekalan air rumah.

  2. Laraskan kekerapan dan ulang siraman (watering time No. 1, waterring cycle No. 2 (maksudnya: Siraman selama 5 minit setiap 90 minit).

  3. Pasangkan 2 biji bateri 9V

  4. Tekan butang operasi (di bahagian bawah 'timer')

  5. Pastikan penunjuk kawalan berada di tengah (auto)

  6. Siraman berlaku mengikut pelarasan (tempoh menyiram: 5 minit setiap 2.0 kg. kacang)

Set model pengeluaran tauge automatik memudahkan pengeluaran taugeh secara komersil, murah dan menguntungkan. Penggunaan alat pelaras masa Galcon mengurangkan penggunaan air untuk siraman. Dengan rekacipta SePTA, penjimatan masa dilihat daripada aspek menyiram air, membersihkan tauge daripada kulit benih dan pusingan pengeluaran.

Perhatian !
Alat ini telah dicipta oleh sekumpulan pegawai yang diketuai oleh Encik Ahmat Khir bin Mardi, Penolong Pegawai Pertanian Kanan, Institut Pertanian Ayer Hitam Johor pada bulan April 1999 dengan kos (bahan dan upah penyediaan) sebanyak RM500.00 seunit.

Hasil Meningkat

Inovasi SePTA berjaya meningkatkan hasil tauge daripada 6 kg purata kepada 9 kg. purata bagi setiap kilogram benih kacang, iaitu peningkatan sebanyak 3 kg. atau 50%.

Kepuasan Hati Pelanggan

Selain daripada aspek pengurangkan kos, penjimatan masa dan peningkatan hasil, rekacipta SePTA sebagai teknologi tinggi, modal yang rendah, kos operasi yang rendah serta mudah dikendalikan. Pengeluaran tauge boleh dikawal berdasarkan permintaan pasaran. Inovasi yang diperkenalkan ini menyebabkan pengusaha dapat menjimatkan masa yang amat banyak untuk kerja-kerja penyiraman. Pengusaha juga tidak terikat dengan waktu atau kekerapan siraman berbanding secara manual.

Kapasiti Pengeluaran Boleh Ditingkatkan

Pengeluaran boleh ditingkatkan sehingga mencapai 60-160 kg. tauge sehari dengan menambah bilangan saiz tong yang sama atau menukar saiz tong yang lebih besar. Penukaran saiz tong adalah dari segi garispusatnya. Ketinggian optimum yang disyorkan tidak melebihi 80 tan.

Tempoh Pulangan Modal Yang Singkat

Dengan SePTA, pengusaha boleh mendapat kembali modal yang dilaburkan dalam tempoh yang singkat iaitu dalam tempoh 2 tahun atau dengan menanam 100 kg benih kacang.

Kualiti Hasil Yang Tinggi dan Konsisten

Kualiti tauge yang dihasilkan oleh SePTA lebih tinggi serta konsisten, iaitu tauge yang gemuk, putih dan berakar pendek serta tahan disimpan. Keberkesanan SePTA telah mendapat pengiktirafan Jabatan Pertanian apabila inovasi ini memenangani Anugerah Inovasi Jabatan Pertanian 2000. Inovasi ini juga diterima sebagai salah satu teknologi yang akan disebarkan kepada para petani untuk diterima pakai.

Panduan ringkas untuk menghasilkan taugeh.


Peralatan yang diperlukan:
  • Alat penimbang
  • Jug air
  • kacang hijau/kancang hitam/kacang soya(taugeh kasar)
  • Sentoso
  • Baldi kecil
  • Tong Sampah(telah di ubahsuai)
  • guni padi(dipotong bulat mengikut diameter tong sampah)

Prosedur:
  1. Tuangkan kacang hijau ke atas alat penimbang cth:1kg-1kg kacang hijau akan menghasilkan sehingga 6-8 kg taugeh segar sekiranya kadar siraman air sekata dan tidak mempunyai sebarang masalah.
  2. Setelah kacang hijau ditimbang, tuangkan kacang hijau tersebut ke dalam baldi
  3. Isikan jug dengan air dan tunagkannya ke dalam baldi. Bilas kacang hijau tersebut.Tujuannya untuk membersihkan kacang hijau dan mengasingkan kacang hijau yang telah rosak(kacang hijau yang terapung)
  4. Toskan kacang hijau tersebut dan tuangkan air yang baru ke dalam baldi tersebut.
  5. Titiskan sentoso ke dalam baldi tersebut yang berisi kacang hijau dan air itu.
  6. Rendamkan kacang hijau dan biarkan semalaman.
  7. Ambil kacang hijau tersebut dan diletakkan ke dalam tong sampah yang telah diubahsuai.
  8. Letakkan guni padi yang telah dipotong mengikut saiz diameter tong sampah itu di atas kacang hijau.
  9. Letak di dalam bilik taugeh dan set kan timer.
  10. Lihat taugeh dari semasa ke semasa bagi memastikan ia berada di dalam keadaan yang baik.Elakkan kawasan taugeh anda dimasuki cahaya dengan tujuan untuk mengelakkan tunas tumbuh.
  11. pada hari ke-4, taugeh boleh dikutip dan di jual

Elakkan kawasan taugeh anda dimasuki cahaya dengan tujuan untuk mengelakkan tunas tumbuh


taugeh yang sedia untuk dikutip hasilnya dan dijual