_

Wednesday, July 4, 2012

TANAMAN CEMPEDAK



PENGENALAN


Pokok cempedak adalah sejenis tumbuhan yang amat digemari dan banyak di tanam di kampung dan kebun. Pokok cempedak boleh mengeluarkan hasil apabila berumur 3 hingga 4 tahun selepas penanaman diladang. Manakala, hasil buah cempedak akan bertambah dengan banyaknya apabila diberikan penjagaan yang sempurna sejak dari awal penanaman lagi.
 
Cempedak tergolong dalam famili Moraceae dan nama saintifiknya ialah Artocarpus champeden.
 
Jarak tanaman yang disyorkan bagi anak pokok cempedak ialah 9 m x 9 m dengan menggunakan sistem empat segi sama atau segitiga. Bagi anak pokok yang ditanam dengan menggunakan sistem empat segi, bilangan anak pokok yang boleh ditanam ialah 123 pokok sehektar.
 
Klon cempedak yang ditanam di kawasan ladang UPM ialah seperti klon :
  • CH 26 ( Paya Jaras ), 
  • CH 27, 
  • CH 28, 
  • CH 29 ( Kuang 4 ), 
  • CH 30 ( Kuang 5 ), 
  • CH 31, 
  • CH 33 ( Syin ) 
  • CH 35 ( Sri Temoh ).  

TIP  PENJAGAAN

Antara tip penjagaan yang dapat dikongsi pada ruangan kali ini adalah seperti berikut .:

Pengairan
  • Penggunaan batang pisang yang dibelah dan dipotong boleh digunakan untuk mengawal kelembapan tanah. Apabila kepingan batang pisang telah berubah menjadi kering atau berbau busuk, ianya perlu digantikan dengan yang lain .
  • Elakkan menyiram pada pangkal pokok cempedak bagi mengelakkan tanah terhakis.
  • Gunakan sungkupan untuk mengawal kelembapan tanah dan kawalan rumpai.
  • Kerja menyiram perlu dilakukan 2 kali sehari atau ditanam pada musim hujan. 
Kawalan  rumpai
  • Penggunaan sungkupan seperti sisa tumbuhan, sabut kelapa, tempurung biji kelapa sawit dapat mengawal pertumbuhan rumpai.
  • Kawal rumpai dengan menggunakan cangkul atau racun rumpai dikeliling  kanopi pokok. 
Pembajaan
  • Baja tumbesaran/daun digunakan pada peringkat awal penanaman dari tahun 1 hingga 3. 
  • Baja yang digunakan ialah baja NPK Hijau 15:15:15 ditabur dikeliling pokok dengan kekerapan 3-4 kali setahun. Kadar yang digunakan bergantung kepada umur pokok, kesuburan tanah dan analisa tanah/daun.
  • Baja buah yang biasa digunakan ialah baja NPK Biru 12:12:17:2 dengan kekerapan 3 kali setahun. 
  • Pembajaan pokok cempedak dilakukan pada 3 peringkat iaitu sebulan sebelum pokok berbuah, sebulan setelah buah berputik dan selepas kutipan hasil.
  • Pastikan pokok  cempedak yang berbunga tidak ditabur dengan baja kimia kerana bunga cempedak akan layu, kering dan gugur.
  • Penggunaan baja organik /tahi ayam dapat membantu membekalkan nutrient pada pokok dan meningkatkan hasil buah cempedak. 
Pemangkasan
  • Elakkan daripada pemangkasan yang keterlaluan.  Pemangkasan yang keterlaluan boleh mengencatkan pertumbuhan pokok.
  • Pokok cempedak perlu di bentuk dengan menggunakan sistem batang utama   dengan membiarkan satu batang utama sahaja yang tumbuh dan dahan utama digalakkan tumbuh mendatar.
  • Dahan yang mendatar akan mengeluarkan bunga dan buah apabila mencapai umur matang. Pastikan tunas air yang tumbuh dipangkas untuk elakkan persaingan mendapatkan makanan.
  • Kerja pemangkasan penjagaan dan pembentukan perlu dilakukan supaya dapat mengawal pertumbuhan pokok, menjaga kesihatan pokok dan mengawal saiz tumbesaran pokok.
  • Pangkas tunas air yang tumbuh menegak pada dahan primer, ranting yang tidak produktif , ranting yang melempai ke tanah, dahan yang mati dan berpenyakit.


 Kawalan penyakit
  • Penyakit tanaman cempedak yang paling serius ialah penyakit mati rosot yang menyerang bahagian dahan dan pangkal pokok. Bahagian yang di jangkiti mengeluarkan damar yang berwarna putih kekuningan.   
  • Sekiranya serangan dapat dikesan awal, dahan ini perlu dipangkas dan di bakar.
  • Penyakit reput putik buah biasanya menyerang pada putih muda yang mengakibatkan putik manjadi hitam dan gugur. Semburan racun kulat 2 minggu sekali pada peringkat pembungaan.

Kawalan Serangga
  • Pokok cempedak biasanya diserang oleh serangga seperti pongorek buah, pengorek batang cempedak dan lalat buah. Penggunaan racun serangga yang bersesuaian mengikut simptom-simptom serangan serangga adalah amat penting sekali.
  • Penyemburan racun serangga perlu mengikut jadual yang tertentu dan berkala.