_

Wednesday, August 12, 2009

PENGURUSAN LADANG


Pengurusan sesebuah organisasi yang baik adalah apabila kita berjaya mengabungkan dan menjayakan 3 bahagian utama iaitu pengurusan , kewangan dan pemasaran.

Pengurusan

Bahagian ini amat penting kerana ini adalah nadi sebenar sebuah perniagaan. Ia merangkumi pembangunan sumber manusia iaitu pekerja dan pembangunan produk atau hasil pertanian. Namun tidak semuanya indah belaka. Dalam menjalankan usaha pertanian, kebergantungan kepada pekerja buruh boleh menyebabkan kita mengalami kerugian yang tidak disangka sangka. Aku sendiri tidak nafikan, masalah utama dalam aktiviti pertanian adalah pekerja. Jadi, penyelesaian terbaik dengan menyediakan infrastruktur dan mesin yang lengkap bagi menggantikan tenaga kerja. Keperluan tenaga kerja bergantung kepada keluasan dan jenis tanaman yang diusahakan. Sekarang saya mengusahakan 7 ekar tanaman bendi dan 3.5 ekar tanaman cili. Dengan keluasan begini, kita hanya perlukan 2 pekerja sepenuh masa dan 3 pekerja tambahan semasa memungut hasil.

Pada peringkat awal, pengurusan bijak dalam penggajian tenaga kerja banyak membantu. Kita jangan mudah meletakkan kepercayaan kepada orang lain terutama pekerja kita. Usahawantani harus turun sendiri ke tapak tanaman dan memastikan kerja berjalan seperti yang di rancang. Setiap data tanaman terutamanya jenis tanaman, benih, pembajaan, racun makhluk perosak, keadaan cuaca dan hasil tuaian hendaklah direkodkan.

Kewangan


Penting untuk kita menguruskan kewangan dengan bijak. Penyediaan laporan kewangan yang lengkap dan sentiasa dikemaskini membantu kita dalam merancang dan memastikan perjalanan operasi ladang. Adalah menjadi kebiasaan sekiranya kita mengalami defisit pada tahun tahun awal operasi perniagaan kita. Itu sebabnya kemampuan kewangan yang kukuh menjamin kita meneruskan operasi ladang kita.

Dalam bidang pertanian terutama tanaman sayuran, memang diakui modal awalan amat tinggi dan kita memerlukan satu tempoh masa yang relevan untuk mencapai titik pulang modal. Kemahiran dan pengalaman yang bijak dalam menguruskan kewangan peribadi banyak membantu.

Oleh itu, amat penting bagi kita dalam mengenalpasti jenis tanaman dan tempoh masa supaya kita tidak mengalami masalah kekurangan modal pusingan. Sekiranya kita gagal dalam perancangan peringkat awal ini, kita masih lagi mempunyai talian hayat iaitu Pinjaman. Banyak dana-dana kerajaan yang diuruskan oleh badan kerajaan dan bank untuk membantu golongan usahawantani. Aktiviti pertanian yang telah beroperasi lebih mudah mendapat pinjaman berbanding sebaliknya.

Pemasaran


Kebanyakan usahawantani bergantung harap dengan orang tengah atau pemborong dalam memasarkan hasil pertanian kita. Ini masalah utama kenapa kebanyakan dari kita gagal menjana keuntungan maksimum.

Usahawantani seharusnya berusaha untuk memasarkan sendiri hasil pertanian mereka. pemasaran yang baik seharusnya mempunyai prinsip yang diikuti dengan disiplin yang ketat. Antara prinsip yang perlu kita tekankan dalam pemasaran ialah :
  • Hormati pelanggan Kita
  • Strategi Pasaran kita
  • Tujuan yang kukuh
  • kedudukan yang baik
  • kosenstrasi
  • kekuatan ekonomi
  • Struktur yang baik
  • kejutan
Mungkin tidak perlu semua prinsip ini kita amalkan sepenuhnya tetapi penekanan kepada beberapa prinsip penting seperti menghormati pelanggan kita dan strategi mengenali pasaran kita sudah memadai untuk kita mula bertapak dalam pasaran. Maklumat dan rekod harga terdahulu perlu kita rekodkan dan simpan sebagai rujukan pada masa depan.

Sekiranya kita berjaya mengimbangi ketiga tiga pengurusan asas ini, maka kita mampu menjadi seorang pengusaha yang bagus. memang sukar untuk mengimbanginya lebih lebih lagi antara kewangan dan permasaran kerana keduanya mempunyai ciri-ciri yang berlawanan. Kewangan atau perakaunan lebih kepada ciri penjimatan dan mengurangkan kos manakalan pemasaran lebih kepada membelanjakan sumber kewangan untuk meluaskan pasaran.