_

Sunday, July 1, 2012

PANDUAN MENANAM POKOK BUAH-BUAHAN TANPA MENYIRAM


Dalam mengusahakan dusun atau ladang buah-buahan satu kesulitan yang agak rumit dihadapi oleh pengusaha atau penanam adalah penyiraman benih pokok setelah di tanam. Ini kerana kebanyakan kawasan tanaman seperti ladang atau dusun tidak mempunyai sumber air yang mencukupi atau terhad.

Selain dari itu pengusaha perlu menyediakan peralatan-peralatan penyiraman seperti mesin pam dan paip-paip untuk memudahkan penyiraman yang perlu di lakukan sekurang-kurangnya sekali sehari.

Tambahan pula sekiranya pengusaha hanya mengusahakan dusun sebagai hobi atau separuh masa, pengusaha perlu menggaji pekerja hanya untuk memastikan penyiraman dapat dilakukan dan selepas itu segala peralatan yang disediakan tidak akan diperlukan lagi. Adakah itu suatu pembaziran?

Dalam keadaan sekarang dimana kesulitan untuk mendapat pekerja yang sanggup tinggal di dusun yang terpencil amat sulit di sebabkan tiada kemudahan asas yang mencukupi membuatkan pengusaha dusun buah-buahan menghadapi masalah. Tanpa penyiraman air yang mencukupi akan menyebabkan tumbesaran pokok-pokok menghadapi masalah dan kemungkinan besar akan membantutkan tumbesarannya.

Sebenarnya teknik-teknik ini telah di aplikasikan oleh orang-orang tua zaman dahulu yang mempunyai kemudahan dan perbelanjaan yang amat terhad. Tetapi, hasilnya amat memberangsangkan. Panduan ini akan menerangkan langkah demi langkah bagaimana anda dapat mengurangkan kos perbelanjaan penyelenggaraan penyiraman pokok selepas menanam. Di bawah ini diterangkan langkah-langkah yang perlu dibuat oleh pengusaha dusun atau ladang buah-buahan bagi menjimatkan kos serta tenaga kerja.

Langkah 1
Ukur jarak yang bersesuaian untuk pokok-pokok yang hendak ditanam dan tandakan dengan pancang kayu atau buluh. Ini untuk memastikan jarak yang mencukupi bagi pertumbuhan pokok yang subur apabila ia besar.
 
Langkah 2
Gali lubang lebih besar dari saiz polibeg benih pokok buah-buahna tersebut. Pastikan kedalaman lubang melebihi 6 inci dan garispusat melebihi 6 inci dari saiz polibeg anak benih pokok.

Langkah 3
Setelah lubang di gali, masukkan baja organan seperti tahi ayam(0.5 kg), baja kompos (0.5 kg) atau zeolite  ( lava gunung berapi ) (100 gram ) kedalam lubang dan biarkan selama seminggu ke dua (2) minggu.

Langkah 4
Masukkan tanah baja setebal 3 inci kedalam lubang tersebut. Sekiranya tiada tanah baja, anda boleh menggunakan lebihan tanah yang digali tetapi pastikan benda-benda keras seperti batu dan kayu di asingkan. Selepas itu masukkan batang pisang yang telah di cincang setebal 3 inci kedalam lubang tersebut.

Langkah 5
Masukkan benih pokok buah-buahan yang hendak ditanam dan kambus ruang-ruang yang terdapat disekeliling benih dengan tanah lebihan yang digali sebelumnya. Padatkan tanah disekeliling benih pokok.

Dengan mengikuti langkah-langkah di atas, anda tidak perlu lagi menyiram pokok tersebut kerana batang pisang yang dicincang akan dapat membekalkan air yang mencukupi untuk pertumbuhan pokok buah-buahan anda. Selamat Mencuba!

sumber di sini