_

Tuesday, January 17, 2012

KESELAMATAN DAN KESIHATAN SEKTOR PERTANIAN


Sektor pertanian di Malaysia boleh dikatakan agak maju pada masa kini dengan wujudnya teknologi-teknologi baru pertanian yang semakin mendapat perhatian umum. Ini termasuklah penggunaan kaedah pengurusan pertanian yang baru, teknologi pertanian yang lebih canggih serta penghasilan baka-baka baru pertanian yang dapat memberi pulangan yang berlipat ganda dalam masa yang lebih pendek.

Walaupun statistik kemalangan industri pada masa kini lebih ketara di sektor perindustrian dan pembuatan berbanding sektor pertanian, aspek keselamatan dan kesihatan di dalam sektor tersebut tidak boleh diabaikan.

Di antara potensi hazad yang wujud di sektor pertanian:

i) Mesin bermotor dan peralatan elektrik pertanian

Penggunaan mesin dan peralatan pertanian yang tidak selamat boleh mengakibatkan:

a) Luka akibat terkena pisau pemotong seperti dari peralatan mesin penuaian

b) Renjatan elektrik atau kecederaan anggota badan akibat pendawaian yang tidak sempurna atau rosak pada peralatan elektrik pertanian.

c) Kecederaan anggota badan seperti jari tersepit di celah-celah pergerakan roda tali sawat atau sistem “gearing” mesin semasa kerja pembaikan mesin sedang dilakukan ataupun terlanggar oleh mesin pertanian yang bergerak.

ii) Bahan kimia pertanian

a) Kecederaan pada mata akibat terkena semburan bahan kimia pertanian yang merbahaya, contohnya racun rumpai.

b) Masalah “skin irritation” akibat semburan bahan kimia pertanian pada kulit. Masalah kulit gatal serta kanser kulit mungkin lebih ketara apabila pekerja telah terdedah kepada bahan tersebut dalam tempoh masa yang lama dan memberi kesan kronik pada pekerja

c) Masalah pernafasan ataupun yang berkaitan akibat kerap terdedah kepada bahan pertanian kimia merbahaya, contohnya menyembur racun serangga perosak di dalam ladang tanpa PPE yang sesuai

iii) Masalah “heat stress”

a) Petani atau pekerja ladang yang terdedah kepada kepanasan matahari yang berterusan mengakibatkan pekerja mungkin pengsan akibat badan kekurangan air serta kawalan suhu dalaman badan yang tidak stabil

iv) Masalah ancaman haiwan merbahaya

a) Keselamatan pekerja di sektor pertanian turut boleh diancam oleh contohnya seperti ancaman patukan ular.

Untuk mengurang serta mengelak masalah tahap hazad di sektor pertanian, berikut adalah cadangan-cadangan langkah kawalan:

i) Pastikan peralatan atau mesin berada pada tahap keselamatan yang tinggi. Ini termasuklah memastikan:

a) Penyelenggaraan mesin dan peralatan elektrik mengikut jadual. (Scheduling maintenance)

b) Jangan menggunakan peralatan elektrik tangan yang tidak selamat. Untuk mesin-mesin pertanian seperti mesin membajak yang telah rosak dan perlu diperbaiki, tanda amaran perlu digantung pada mesin-mesin tersebut untuk mengelakkan dari diguna oleh pengguna lain.

c) Penyelenggaraaan perlu dibuat oleh mereka yang mahir dan bertauliah sahaja. Kadang kala, kemalangan industri boleh berlaku berikutan daripada mereka yang tidak berkelayakan tetapi cuba memperbaiki peralatan yang rosak.

d) Sebelum menggunakan samada peralatan elektrik atau mesin-mesin pertanian seperti jentera membajak atau menuai, cuba memeriksa semula keadaaan mesin tersebut sebelum mengoperasikan mesin. Bantuan “check-list” dapat memudahkan pemeriksaan utama terhadap aspek-aspek keselamatan yang perlu dititikberatkan pada mesin.

ii) Pastikan PPE diguna dan dibekalkan kepada pekerja. Aspek lain yang berkaitan termasuklah:

a) Penggunaan PPE mestilah bersesuaian dengan kerja yang dilakukan. Contohnya penggunaan respirator serta “face shield” yang bersesuaian dengan kerja menyembur racun rumpai.

b) PPE yang diguna mestilah selesa dipakai oleh pekerja dan dapat melindungi pemakainya dari hazad kimia tersebut.

c) Pekerja perlu diajar untuk memakai PPE dengan betul kerana PPE yang tidak dipakai dengan betul boleh merbahayakan kesihatan pekerja. Pekerja turut juga diajar cara-cara penyelenggaraan asas PPE yang betul agar peralatan lindungan diri tersebut boleh bertahan lama. PPE yang sudah rosak perlulah ditukar.

iii) Khususnya untuk peladang atau petani yang lebih kerap bekerja di kawasan pertanian yang panas terik, pengurusan jadual pekerja boleh dipraktikkan.

a) Ini boleh dilakukan dengan pengujudan jadual kerja bergilir (Rotating Work Schedule). Maka, pekerja yang kerap terdedah kepada masalah tempat kerja terik panas boleh diurus dengan lebih berkesan. (Cara ini adalah lebih sesuai untuk majikan yang mengupah tenaga pekerja ladang atau pertanian yang besar)

b) Menyediakan tempat rehat atau pondok yang sesuai untuk pekerja berehat seketika di tempat pertanian. Pihak majikan boleh turut menyediakan minuman air bersih atau pekerja boleh membawa minuman air sendiri untuk menyejukan badan semasa kerja di kawasan pertanian yang panas terik.

c) Topi perlu dipakai di kawasan kerja yang panas terik agak pekerja tidak terdedah terus kepada panas terik yang mendadak dan mangakibatkan masalah “heat stress

iv) Di samping PPE seperti respirator dan pelindung muka yang sesuai semasa kerja penyemburan racun pertanian, pemakaian “safety boot” atau “rubber boot” yang sesuai dapat mengelak khususnya anggota kaki dari ancaman patukan ular

Kesimpulannya, tidak kira samada sektor perindustrian, pertanian ataupun sektor kerja yang lain, masing-masing mempunyai risiko atau hazad tersendiri yang perlu diambil kira dan dicegah. Pekerja dan majikan perlu sama-sama mengambil inisiatif untuk menjaga aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

oleh: Lim Tian Poh