PENGENALAN
Pokok
gajus dipercayai berasal dari Brazil telah diperkenalkan di India pada
abad ke 16 dan seterusnya meluas ke negara subtropika dan tropika
termasuk di negara ini. Pokok gajus banyak ditanam di kawasan pantai timur Semenanjung terutama di negeri Terengganu, Pahang dan Kelantan.
Gajus tergolong di dalam keluarga Anacardiaceae dan nama saintifiknya adalah Anacardium occidentale.
Pokok gajus biasanya mula berbuah setelah berumur tiga tahun. Ia mula berbunga pada bulan Februari hingga April dan berbuah pada bulan Mei hingga Julai. Pokok gajus dijangka produktif selama 15 hingga 20 tahun.
pucuk gajus |
buah gajus |
bunga gajus |
Buah gajus boleh dimakan segar mahupun dijadikan sebagai sebahagian inti kerabu atau diproses menjadi cuka. Biji gajus yang digoreng, dipanggang dan dimasinkan sangat popular sebagai makanan ringan. Biji gajus panggang juga biasa didapati di dalam aiskrim, biskut dan kek malahan di dalam masakan cina dan siam. Pucuk
gajus sangat digemari sebagai ulam di kalangan masyarakat di negara ini
yang dipercayai dapat mengurangkan penyakit kencing manis, tekanan
darah tinggi dan menyembuhkan ulser dalam mulut.
Pembiakan pokok gajus adalah dengan menggunakan kaedah cantuman matatunas dan semaian bijibenih. Kaedah
cantuman matatunas memerlukan pokok penanti berumur tiga hingga tujuh
bulan, ranting matatunas dari pokok yang diketahui baik bakanya, pisau
cantuman dan pembalut lutsinar. Teknik mencantum yang betul dapat menentukan daun baru tumbuh di matatunas yang telah dicantum.
Bagi
pembiakan secara semaian bijibenih pula, biji gajus dari pokok yang
baik bakanya dijemur dua hingga tiga hari sebelum ditanam di dalam petak
semaian yang mengandungi pasir sungai. Apabila dua hingga tiga helai daun mulai tumbuh, anak pokok dipindahkan ke dalam polibeg.
Setelah
cantuman matatunas dan semaian bijibenih yang dibiak telah hidup dengan
baiknya, ia perlu diberikan naungan dan penjagaan yang sempurna selama
lapan hingga 12 bulan sebelum sesuai ditanam di kebun.
Pengairan
- Pokok gajus perlu disiram sekurang-kurangnya 2 kali dalam sehari di awal pagi dan lewat petang bagi mengalakkan pertumbuhan vegetatif yang cepat dan aktif.
- Anak pokok gajus memerlukan pengairan untuk tempoh dua hingga tiga bulan selepas penanaman kerana akar serabut belum berfungsi sepenuhnya untuk mendapatkan air.
- Untuk memberikan kelembapan pada tanah dan mengurangkan suhu pokok, adalah digalakkan meletakkan sabut kelapa di sekeliling anak pokok sebagai bahan sungkupan.
- Naungan dengan menggunakan pelapah kelapa sawit/kelapa di peringkat permulaan penanaman sangat digalakkan bagi mengurangkan anak pokok terencat pertumbuhannya dan pemeluwapan air ke udara. Naungan dikurangkan sedikit demi sedikit sehingga anak semakin dewasa.
Pengawalan rumpai
- Kawalan rumpai dijalankan sebelum kerja pembajaan dilakukan dan semasa musim berbuah supaya mudah mengutip biji gajus yang telah gugur ke tanah.
- Kawalan rumpai secara manual dengan menggunakan cangkul pada peringkat awal pertumbuhan pokok gajus dapat membantu mengawal rumpai yang tumbuh di sekelilingnya. Di samping itu, sungkupan dengan menggunakan rumput kering atau hampas kelapa sawit turut dapat mengawal pertumbuhan rumpai dan memudahkan kerja penyelenggaraan seperti pembajaan.
- Rumpai juga boleh dikawal dengan menggunakan racun kimia yang mempunyai bahan aktif paraquat atau glyphosate. Pemilihan racun kimia bergantung kepada jenis rumpai yang tumbuh dan kesesuaian umur pokok gajus. Kekerapan semburan ialah di antara tiga dan empat kali setahun.
Pembajaan
- Pada peringkat awal pertumbuhan pokok, baja tumbesaran seperti NPK Hijau 15:15:15 diberikan dua atau tiga setahun bagi menggalakkan pertumbuhan vegetatif pokok gajus.
- Kadarnya adalah 120 gram ketika pokok berumur satu hingga enam bulan, 230 gram ketika pokok berumur tujuh hingga 12 bulan, 300 gram ketika pokok berumur 13 hingga 18 bulan, 350 gram pada ketika pokok berumur 19 hingga 24 bulan dan 450 gram mulai pokok berumur 25 bulan.
- Pembajaan pokok gajus dewasa dijalankan sebelum musim pokok gajus berbunga iaitu pada bulan Februari/Mac dan September/Oktober.
- Kaedah pembajaan pokok gajus biasanya menggunakan sistem poket atau peparit di sekeliling pokok. Pastikan dikambus dengan tanah selepas ditabur dengan baja di bawah kanopi pokok.
Pemangkasan
- Pokok gajus tumbuh dengan pesatnya ketika pokok berumur dua tahun dengan pertumbuhan dahan dan ranting baru.
- Dahan yang rendah hendaklah dipangkas. Pangkas juga dahan dan ranting yang tidak produktif, ranting yang melempai ke tanah, dahan yang mati dan berpenyakit.
Kawalan penyakit dan perosak
- Ulat pemakan daun, ulat pengorek batang dan anai-anai adalah beberapa perosak dikenalpasti menyerang pokok gajus. Kawalan yang disyorkan menggunakan racun serangga dengan bahan aktif methamidophos atau malathion.
- Penyakit antraknos boleh menyebabkan pengurangan hasil dari pokok gajus. Kawalan kulat pembawa penyakit ini dengan mengunakan racun kulat dapat mengurangkan penyakit ini di kawasan tanaman gajus.
- Bancuhan dan kekerapan penggunaan racun serangga dan kulat hendaklah mengikut kadar yang ditetapkan pada label supaya dapat pengawalan yang terbaik dan berkesan.
- Kebersihan persekitaran kawasan kebun hendaklah sentiasa dijaga bagi mengelakkan menjadi perumah kepada ulat dan serangga perosak.