_

Tuesday, November 23, 2010

KLINIK PAKAR PERTANIAN UPM SEMPENA MAHA 2010

Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menyertai MAHA 2010 yang akan berlangsung pada 26 November hingga 5 Disember 2010 di Kompleks MAEPS, Serdang, Selangor. Klinik Pakar Pertanian UPM adalah satu daripada aktiviti utama di booth pameran UPM yang terletak di Dewan A yang dikhaskan untuk semua agensi kerajaan. Ramai pakar UPM dari pelbagai bidang akan turut menjayakan secara bergilir bermula jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang bagi bertemu pelanggan untuk berkongsi masalah /maklumat meliputi sektor pertanian dan Industri Asas Tani. Pusat Pengembangan, Keusahawanan dan Pemajuan Profesional (APEEC) selaku Urus setia Klinik Pakar Pertanian UPM mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengambil bahagian dan mengalu -alukan pengunjung MAHA 2010 untuk mengambil peluang menemui Pakar Pertanian UPM sepanjang program tersebut berlangsung.

Thursday, September 9, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1431H


Assalammualaikum w.b.t

Sempena menyambut Idil Fitri ini, kami staff APEEC menyusun sepuluh jari untuk memohon
ampun dan maaf di atas keterlanjuran tingkah laku dan terkasar bahasa
sepanjang kami bergaul dan berurusan kerja dengan tuan-tuan dan puan-puan
sekalian (cik juga).

Semoga Ramadhan yang akan berlalu beberapa hari lagi ini mampu merubah
hidup kita ke arah yang lebih baik dan semoga amalan kita diterima oleh
Allah S.W.T.

Didoakan semoga perjalanan kita selamat sampai pergi dan balik ke kampung
halaman masing-masing.

Akhir kata, staff APEEC ingin mengucapkan:


"Selamat Hari Raya Maaf Zahir & Batin kepada semua pengunjung setia blog PERTANIAN LANJUTAN"

Saturday, July 24, 2010

Stevia rebaudiana (Stevia)


Stevia rebaudiana, adalah sejenis tanaman herba berasal dari Paraguay. Tanaman ini terkenal dengan daunnya yang manis dan orang asli Paraguay telah menggunakannya sebagi bahan pemanis dalam minuman dan masakan, dan sebagai tea herba sejak 200 tahun dahulu.


semakin popular sebagai pengganti kepada gula, dan mula ditanam di banyak negara. Daun kering stevia adalah 40 kali lebih manis daripada gula manakala extrak S.rebaudiana dikatakan 300 kali lebih manis daripada gula. "Kemanisan pada daun stevia ini adalah disebabkan oleh dua kompound iaitu stevioside dan rebaudioside.


kelebihan S.rebaudiana sebagai bahan pemanis ialah ia tidak mengandungi kalori (calorie) dan karbohidrat (cabohydrate), dan sesuai untuk kesihatan terutama sekali bagi orang yang mengidap penyakit kencing manis. Selain daripada itu, stevia juga mengandungi vitamin serta antifungal dan antibacterial.


negara pengeluar utama produk stevia pada masa kini ialah negara China dan diikuti oleh India. Manakala negera pengimport and penguna terbesar ialah negera Jepun, dimana 41% daripada bahan pemanis yang digunakan adalah berasaskan Stevia. Untuk rekod, Jepun telah mengharamkan penggunaan bahan pemanis tiruan sejak tahun 70’an.


Tanaman stavia sesuai tumbuh di kawasan tropika.

MEMBUAT TELUR MASIN BASAH


Umumnya telur akan rosak setelah disimpan lebih 2 minggu di ruang terbuka. kerosakan kebanyakkan berpunca dari kotoran yang terdapat dilapisan kulit telur dan penurunan mutu telur disebabkan dengan kelembapan persekitaran. prinsip pengawetan telur adalah bertujuan untuk mencegah peranan bakteria serta keluarnya air dari dalam telur. justeru pengawetan telur penting untuk menjaga meningkatkan kualiti dan nilai tambah telur segar tersebut. salah satu cara yang ekonomik ialah menjadikannya sebagai telur masin.


Ciri-ciri telur masin yang baik ialah:

  • Memiliki kuning telur berwarna kuning cerah dan berminyak
  • posisi kuning telur berada ditengah-tengah,
  • tidak banyak terdapat rongga.

CARA MEMBUAT TELUR MASIN BASAH

Bahan-bahan:

  1. 10 biji telur itik (saiz yang sekata dan baik)
  2. 250 gram garam dapur
  3. 1 liter air bersih
  4. kertas pasir/berus halus - untuk membersihkan kotoran pada telur
  5. 1 bekas plastik yang kedap udara

Cara membuat:

  1. cuci atau lap telur dengan air suam hingga bersih dan kemudiannya dikeringkan.
  2. kemudian gosok secara sekata ( tidak terlalu kuat dan sekadar 1 pusingan) permukaan telur dengan menggunakan kertas pasir/ berus halus bagi memastikan liang-liang telur terbuka.
  3. buat larutan air garam yang terdiri dari air dan garam dapur 1:4 dan masukkan larutan tersebut di dalam bekas plastik yang berpenutup kedap udara
  4. masuk telur yang dibersihkan ke dalam bekas (hingga semua telur terendam) dan tutup bekas dengan penutup kedap udara
  5. simpan telur selama 15-18 hari sebelum digunakan.

Tips:

A. Direndam dalam larutan teh.
Setelah jadi telur masin mentah biasanya dicuci dan direbus hingga masak. Namun ada juga yang merendam telur pada larutan teh terlebih dahulu sebelum telur masin mentah tersebut direbus. perendaman dalam larutan teh dilakukan selama 4-8 hari.

Penggunakan ekstrak daun teh ini bertujuan agar zat tanin yang terkandung dalam daun teh dapat menutupi pori-pori telur serta memberikan warna coklat muda yang menarik. malah dapat memberi aroma kepada telur masin.

B Telur Masin dengan lain-lain aroma.

Dalam khalayak umum sudah pernah ada yang bereksperimen membuat telur asin dengan membubuhi berbagai macam aroma dan rasa, seperti telur masin rasa halia, cili, juga jeruk.

Cara membuat ekstrak halia tersebut adalah dengan mengupas bersih halia, kemudian dikisar dengan air secukupnya, lalu ditapis dan jadikan ekstrak halia. kaedah yang sama boleh digunakan untuk hasil ekstrak selain halia.Kemudian ekstrak ini akan dicampurkan kedalam larutan garam dan dikacau dengan rata. Kemudian rendam telur itik ke dalam larutan tersebut selama 7-10 hari. Langkah selanjutnya sama seperti pada pembuatan telur masin biasa. Percampuran ekstrak rasa ke dalam larutan garam untuk merendam telur hanya akan mempengaruhi rasa masin dari telur tersebut, namun tidak mempengaruhi warna baik putih maupun kuning telurnya. Jadi bila kita menambahkan ekstrak halia, maka rasa telur masin akan rasa seperti halia. Begitu juga untuk ekstrak rasa yang lain.

\



sumber dari sini

Thursday, March 25, 2010

KLINIK PERIKANAN di MAEPS, SERDANG, SELANGOR


Klinik Perikanan di MAEPS, Serdang Selangor
Diadakan setiap SABTU dan akan bermula semula pada 3 April 2010.
Untuk makluman tuan/puan bulan APRIL merupakan "Bulan Ternakan Keli"
Sekian untuk makluman. Terima kasih.


Wednesday, March 24, 2010

AKTIVITI APEEC & UPM 2010


UNTUK PROGRAM ANJURAN APEEC DAN UPM BAGI TAHUN 2010 (KURSUS, SEMINAR, BENGKEL & PERSIDANGAN) KALIAN BOLEH LIHAT DI RUANGAN 'PENGUMUMAN' DI SEBELAH KANAN.

SEKIAN UNTUK MAKLUMAN

Monday, March 22, 2010

PEMBANGUNAN LESTARI

Laporan Brutland pada tahun 1987 mendefinisikan pembangunan lestari sebagai “Pembangunan yang memenuhi keperluan generasi masa kini tanpa mengabaikan atau menafikan keperluan generasi akan datang”. Dalam konteks sumber tenaga utama yang digunakan pada masa kini terdapat dua persoalan yang perlu diajukan kepada penggubal dasar, ahli ekonomi, jurutera dan saintis iaitu sejauh manakah sumber tenaga yang digunakan kini releven dengan prinsip pembangunan lestari ? Adakah sumber tenaga utama yang digunakan kini dapat menampung keperluan generasi akan datang?

Menurut pandangan Dr. Jose Goldemberg iaitu Profesor di Universiti SaƵ Paulo, Brazil terdapat dua konsep penting yang diketengahkan dalam definisi pembangunan lestari. Iaitu yang pertama ialah konsep ‘keperluan’ yang secara khususnya merujuk kepada keperluan asas untuk kehidupan manusia pada masa kini dan akan datang. Kedua ialah konsep atau idea mengenai keterbatasan atau dalam bahasa inggeris dikenali sebagai ‘limitation’. Iaitu keterbatasan sesuatu sumber yang dipengaruhi oleh teknologi, dan organisasi sosial serta kemampuanya untuk memenuhi keperluan generasi kini dan akan datang.

Dunia kini amat bergantung kepada penggunaan bahan api fosil seperti minyak petroleum, arang batu dan gas asli sebagai sumber utama tenaga dunia. Persoalanya adakah ketiga – tiga sumber tenaga utama ini memenuhi definisi pembangunan lestari? Sumber tenaga lestari boleh ditakrifkan sebagai sumber tenaga yang boleh memenuhi keperluan manusia pada masa kini tanpa mengabaikan atau menafikan keperluan generasi akan datang. Dalam masa yang sama ia tidak memberi kesan terhadap pencemaran alam sekitar.


Dalam hal ini Dr. Jose Goldemberg dalam tulisannya yang bertajuk “Energy Choices Toward A Sustainable Future” menyenaraikan empat kriteria utama yang perlu diambil kira untuk sesuatu sumber tenaga itu diiktiraf sebagai sumber tenaga lestari.

Pertama dari sudut fizikal, yakni ia mestilah mempunyai jaminan bekalan tenaga yang mencukupi bagi memenuhi keperluan masa kini dan akan datang. Ini kerana keperluan tenaga pada masa akan datang sudah tentu akan meningkat. Dianggarkan peningkatan permintaan sumber tenaga dunia akan meningkat sebanyak dua kali ganda pada masa akan datang. Ini berdasarkan perkembangan populasi manusia yang akan mencecah jumlah 9.2 bilion orang pada tahun 2050.

Kriteria yang kedua ialah dalam konteks impaknya terhadap alam sekitar. Sejauh mana sesuatu sumber tenaga itu dianggap bersih dan tidak mencemarkan alam sekitar perlu diambil perhatian. Ia juga bermaksud sesuatu sumber tenaga yang digunakan itu seharusnya tidak memberikan implikasi yang buruk terhadap masalah alam sekitar di peringkat tempatan, benua dan global. Sesuatu tenaga itu juga mestilah tidak menimbulkan dan menambah bebanan terhadap masalah alam sekitar yang sedang melanda dunia pada masa kini, seperti pemanasan global dan perubahan iklim.

Kriteria ketiga ialah penggunaan sumber tenaga yang dianggap lestari, seharusnya tidak mencetuskan sebarang ketegangan diantara wilayah dan negara. Ia mestilah jauh daripada sebarang risiko keselamatan dan tidak mencetuskan sebarang konflik. Ini kerana konflik boleh wujud disebabkan oleh persaingan dan peningkatan permintaan. Ini seterusnya mengundang implikasi terhadap ketidakseimbangan dalam pengagihan sumber tenaga. Akibatnya ada negara yang melakukan manipulasi dan konspirasi terhadap pasaran sumber tenaga.

Kriteria keempat bagi sumber tenaga lestari harus dilihat dalam konteks kesaksamaan ataupun keadilan sosial. Dimana sumber tenaga ini hendaklah mampu diakses oleh semua peringkat masyarakat. Sumber tenaga lestari mestilah mampu menawarkan perkhidmatan yang boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat setanding dengan kemajuan teknologi sedia ada.


Bahan api fosil (arang batu, minyak dan gas asli) pada masa kini digunakan sebagai sumber tenaga utama iaitu sebanyak 80.1 % dari keseluruhan tenaga dunia. Manakala bagi tenaga nuklear adalah sebanyak 6.3 % dan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 13.6%. Apabila analisis dibuat secara mendalam didapati sumber tenaga utama dunia yang digunakan pada masa ini tidak mampu memenuhi keempat-empat kriteria ini.

Terdapat beberapa sebab mengapa ia tidak boleh dianggap sebagai sumber tenaga lestari. Sebab yang paling utama adalah kemampuanya untuk memenuhi keperluan generasi akan datang. Bahan api fosil yang digunakan sebagai sumber tenaga utama dunia akan kehabisan dalam beberapa dekad akan datang. Ini berikutan peningkatan permintaan yang cukup tinggi di seluruh dunia. Sehingga kini dilaporkan minyak mempunyai jangka hayat tampungan selama 41 tahun lagi, gas asli 64 tahun dan arang batu 155 tahun. Permintaan bagi bekalan tenaga utama dunia ini dijangka akan meningkat sebanyak 1.6 % pada tempoh 1980 hingga 2030.

Walaupun arang batu dilihat mempunyai jangka hayat tampungan yang lebih panjang ini tidak bermakna ia boleh dipertimbangkan sebagai sumber utama tenaga lestari untuk dua generasi akan datang. Ini bermakna ia masih tidak dapat memenuhi prinsip pembangunan lestari yang merujuk kepada ”memenuhi keperluan generasi masa kini tanpa mengabaikan atau menafikan keperluan generasi akan datang”. Tambahan pula pembakaran bahan api fosil akan menghasilkan masalah alam sekitar yang serius melalui penghasilan gas rumah hijau seperti gas karbon dioksida. Ia juga bakal menambahkan keperitan ekosistem alam sekitar yang kini semakin sakit oleh kesan pemanasan global.

Kos pengeluaran bahan api fosil pula dijangka akan terus meningkat apabila simpanan sumber tenaga ini semakin kehabisan. Ia berlaku disebabkan peningkatan kos operasi bagi mencari sumber bekalan tenaga yang semakin berkurangan. Akhirnya, situasi ini akan mendorong berlakunya ancaman terhadap keselamatan bekalan sumber tenaga, serta turut menghasilkan ketegangan dan ketidakstabilan politik disesetengah wilayah di dunia.

Jesteru itu dunia kini amat memerlukan suatu transformasi sumber tenaga lestari yang memenuhi empat kriteria seperti yang disebutkan tadi. Mampukah manusia melakukan transformasi kepada sumber tenaga yang benar – benar boleh diiktiraf sebagai sumber tenaga lestari ?

Persoalan ini akan hanya mampu dijawab melalui aktiviti ‘rekacipta’ dan ’inovasi’ yang seharusnya diberikan keutamaan penting. Rekacipta bermaksud aktiviti mereka dan mencipta sesuatu yang baharu untuk kegunaan dan manfaat manusia. Istilah inovasi pula berakar dari asal kata bahasa Latin 'innovare' yang bererti 'mengubah, memperbaharui' yang juga berkait rapat dengan aktiviti merekacipta sesuatu karya, peralatan, kemudahan, perisian, sistem atau idea. Rekacipta dan inovasi bermula dengan idea yang bernas. Sesiapa sahaja yang mempunyai idea dan keberanian boleh melakukan rekacipta dan inovasi.

Namun dalam konteks membangunkan sumber tenaga lestari, idea sahaja tidak mencukupi untuk menjayakanya. Idea untuk merekacipta dan melakukan inovasi perlu diterjemahkan dalam bentuk yang lebih praktikal serta mampu diterima pakai oleh semua lapisan masyarakat. Inovasi merupakan perkara terpenting yang menggerakan kemajuan tamadun dunia pada hari ini. Seandainya tiada sebarang inovasi dilakukan dunia akan kekal pada tahap yang lama.

Pada ketika ini inovasi diperlukan dalam pelbagai bidang. Rekacipta dan inovasi dilakukan untuk meningkatkan kualiti produk, membentuk pasaran baru ekonomi, menambahkan pelbagai jenis produk, mengurangkan kos pekerja, memajukan proses pengeluaran industri, mengurangkan pengunaan bahan mentah dalam industri, mengurangkan pencemaran alam sekitar dan memanimakan penggunaan sumber bahan api.

Sejak berkembangnya penggunaan sumber bahan api fosil secara global, inovasi kepada sumber tenaga lestari dikalangan masyarakat dunia seakan – akan hilang. Ini disebabkan pergantungan sepenuhnya terhadap sumber bahan api fosil. Manakala pembangunan rekacipta dan inovasi sumber tenaga lestari kelihatan agak pegun. Manusia lebih banyak menumpukan kepada peralatan, mesin, loji dan kenderaan pengangkutan yang menjadikan bahan api fosil sebagai sumber tenaga utama.

Kesedaran mengenai kelestarian tenaga sebenarnya pernah disuarakan seawal tahun 1873 oleh Augustine Mouchot seorang Jurutera dari perancis yang menyatakan bahawa “Masanya akan tiba apabila industri di Eropah akan menguncup untuk mencari sumber – sumber asli,yang diperlukan oleh mereka. Petroleum dan arang batu tidak kehabisan tetapi dengan pantas akan berkurangan dikebanyakan tempat. Adakah manusia akan kembali semula kepada tenaga air dan angin ? Atau manusia mungkin bertukar menggunakan sumber tenaga kuasa yang paling hebat iaitu haba yang memancar ke bumi ? Sejarah akan menunjukan apa yang akan berlaku.”

Sehinggalah era tahun 1980an manusia mulai sedar untuk melakukan penyelidikan dan inovasi baharu. Ini berikutan krisis tenaga yang mula menghantui dunia bermula pada tahun 1973. Manusia mulai bimbang dan menjangkakan krisis tenaga akan mencengkam kehidupan manusia di masa depan. Pada masa itu tenaga boleh diperbaharui seperti angin, ombak dan solar mula diperkenalkan di negara maju. Tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) dilihat menepati ciri yang diiktiraf sebagai tenaga lestari. Ini kerana ia bertepatan dengan prinsip pembangunan lestari.

Walaubagaimanapun penggunaanya masih belum meluas. Sehingga tahun 2004 penggunaan tenaga boleh diperbaharui adalah sebanyak 13.6 %. Sekiranya inovasi tidak dilakukan masyarakat dunia bakal berhadapan dengan persaingan untuk mendapatkan keperluan sumber tenaga dan krisis alam sekitar yang semakin teruk pada masa akan datang.


Bagi menyokong aktiviti rekacipta dan inovasi terdapat empat aspek yang perlu dibangunkan dan diberi keutamaan. Iaitu teknologi, modal insan, pelaburan dan polisi. Melalui teknologi, manusia boleh melakukan penyelidikan dan pembangunan bagi melakukan rekacipta dan inovasi terhadap sumber tenaga lestari. Kelengkapan makmal yang khusus untuk mengadakan penyelidikan amat diperlukan. Tanpa sebarang teknologi suatu penciptaan baharu dan inovasi agak mustahil untuk dijayakan.Teknologi boleh diibaratkan sebagai pemangkin untuk mempercepatkan aktiviti rekacipta dan inovasi.

Modal insan, pula lebih merujuk kepada ilmu dan kemahiran manusia untuk melakukan rekacipta dan inovasi. Dalam hal ini pembangunan modal insan harus digembeling dengan memperbanyakan kursus yang menawarkan ilmu dan kemahiran baharu terutamanya dalam bidang kejuruteraan nano, bioteknologi dan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy). Penyelidikan diperingkat institusi pengajian tinggi harus disemarakan dengan baik. Pertandingan rekacipta dikalangan penyelidik harus dibudayakan bagi menyuburkan budaya rekacipta dan inovasi. Walaubagaimanapun, penyelidikan dalam bidang sumber tenaga lestari tidak seharusnya dijadikan kajian ilmiah untuk pertandingan semata – mata. Malah ia perlu mampu dipaten dan dikomersilkan dengan baik.

Salah satu aspek yang penting juga ialah pelaburan, ia merupakan modal penting dalam menjayakan suatu penyelidikan rekacipta dan inovasi. Proses rekacipta dan inovasi memerlukan masa penyelidikan yang agak lama. Ia melibatkan pembangunan infrastruktur, prototaip, model dan lojipandu. Ia sudah tentu memerlukan kos yang agak tinggi. Dalam hal ini keberanian untuk melabur dalam bidang penyelidikan amat dituntut sekali.

Disamping itu juga polisi dan dasar berkaitan penggunaan dan pembangunan sumber tenaga disesebuah negara juga menjadi faktor penggerak kepada rekacipta dan inovasi sumber tenaga lestari. Polisi kerajaan yang memberikan penumpuan terhadap penggunaan tenaga yang boleh menjamin kelestarian alam sekitar amat diharapkan. Ini termasuklah dengan memberikan insentif kepada industri yang menggunakan tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan penggunaan tenaga.

Ia sekaligus akan merangsang masyarakat untuk melakukan aktiviti penyelidikan dalam penggunaan sumber tenaga lestari seperti tenaga solar, hidrogen, biojisim, geoterma, angin dan ombak. Pelan tindakan dan perancangan ke arah penggunaan sumber tenaga lestari seharusnya di terapkan dalam pembangunan sesebuah negara. Oleh itu polisi dan dasar pembangunan tenaga yang menjurus kepada penggunaan tenaga lestari harus diwujudkan sebagai polisi dan dasar sesebuah negara.

Dalam konteks negara kita budaya inovasi dalam bidang teknologi perlu disuburkan . Mengikut kajian yang dijalankan oleh Economist Intellgence Unit yang berpusat di London, Malaysia tersenarai ditempat ke 31 daripada 82 negara mengikut kedudukan Indeks Prestasi Inovasi dengan Negara Jepun, Switzerland dan Findland menduduki tempat tiga teratas. Indeks prestasi ini dihunaka untuk mengukur output inovasi yang dihasilkan oleh sesebuah negara berdasarkan data paten antarabangsa. Secara perbandinganya Jepun di tempat teratas mempunyai indeks paten inovasi sebanyak 1,274.533 paten per sejuta orang dan Malaysia 4.237 paten per sejuta orang.

Sejajar dengan usaha untuk membangunkan tenaga lestari seluruh dunia wajib mengurangkan pergantungan kepada penggunaan bahan api fosil. Usaha inovasi harus dilakukan dengan bersungguh – sungguh untuk memastikan sumber tenaga lestari dapat dibangunkan sesuai untuk keperluan generasi kini dan akan datang. Hal ini menuntut untuk para penggubal dasar, ahli ekonomi, jurutera dan saintis berganding bahu melipatgandakan usaha bagi menjayakan aktiviti rekacipta dan inovasi untuk sumber tenaga lestari.


Rujukan :

[1] Jose Goldemberg. “Energy Choices Toward A Sustainable Future”. Environment Magazine
Disember 2007.
[2] Bruntland, G (ed) (1987). “Our Common Future”: The World Commission on Environment
and Development, Oxford: Oxford University Press.
[3] Solar, Wind and Bioenergy
http://www.runet.edu/~wkovarik/envhist/RenHist/index.html - diakses pada 17 Ogos 2009.
[4] Global Status Report on Local Renewable Energy Policies , 12 June 2009
Comments and Additional Information Invited, The Insititute of Sustainable Energy Policy .
[5] Economist Intelligence Unit Limited. A new ranking of the world’s most innovative countries.
The Economist April 2009.
[6] Zaini Ujang, “Lima pendekatan bina budaya inovatif Malaysia”,Berita Harian 15, Ogos 2009

BIOJISIM DAN BIOKOMPOSIT PADI


Pada masa dahulu sisa sekam dan jerami padi akan dilupuskan oleh para petani dengan cara pembakaran terbuka. Kaedah ini agak mencemarkan alam sekitar dan boleh menjejaskan kualiti udara.

Bagi mengatasi masalah ini beberapa alternatif dijalankan iaitu dengan melaksanakan kitar semula jerami padi untuk dijadikan sebagai baja kompos. Selain itu terdapat kegunaan lain sisa padi secara komersil dilaksanakan. Antaranya ialah penggunaanya sebagai tenaga biojisim dan biokomposit.

Sisa padi seperti jerami dan sekam mempunyai potensi yang tinggi untuk di komersilkan. Ada dua potensi penting sisa padi ini iaitu tenaga biojisim dan biokomposit dalam pembuatan perabot.

Tenaga biojism ditakrifkan sebagai tenaga yang dihasilkan daripada pereputan bahan – bahan organik seperti tumbuhan dan haiwan. Sekam dan jerami padi boleh dijadikan sebagai bahan api untuk memanaskan dandang pada loji janakuasa tenaga.

Manakala sekam padi pula mempunyai sifat – sifat yang baik untuk dijadikan bahan tambah dalam pembuatan komposit seperti papan partikel dan siling. Penggunaan sisa sampingan industri padi ini berupaya meningkatkan pendapatan ekonomi disamping menyelamatkan alam sekitar dari terus tercemar.

Wednesday, February 24, 2010

SALAM MAULIDUR RASUL 1431H

dalam kesempatan ini, editor puspatani.blogspot.com ingin mengucapkan

salam maulidur rasul 1431

Semoga kita mendapat kemuliaan dan keampunan sempena hari kelahiran junjungan besar s.a.w ini.





Rumpai - Kebaikan, Keburukan & Pengawalan


PENGENALAN

Rumpai ialah spesies tumbuhan renik, rendah atau tinggi, baik yang tumbuh menegak, melata mahupun yang menjalar bebas dan muncul di tempat-tempat yang tidak dimaksudkan untuknya. Boleh dikatakan rumpai bukanlah tanaman yang sengaja ditanam tetapi muncul secara sendiri atau dibawa oleh pelbagai vektor (pembawa) tanpa disedari.

Pada amnya, rumpai boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu:

  • rumpai perosak,
  • rumpai yang mempunyai kegunaan ekonomi,
  • rumpai yang bersifat neutral.

Namun, kualiti sifat-sifat rumpai ini akan berubah mengikut keadaan tertentu.

KEGUNAAN DAN KEBAIKAN RUMPAI

  1. mengurangkan hakisan. Ini boleh dilihat apabila rumpai ini digalakkan atau dibiarkan tumbuh dengan bebas di kawasan-kawasan yang terdedah atau diancam hakisan. Ia juga kerapkali dibiar tumbuh untuk membaik pulihkan kawasan yang telah diteroka. Ini seperti Acroceras munronum (rumput rintik rapat) yang dibiarkan tumbuh dilereng-lereng bukit sepanjang lebuh raya.

  2. dijadikan makanan haiwan ternakan seperti lembu, kambing, kuda, dan babi. Rumpai yang digunakan ialah seperti Paspalum dilatatum, rumput yang penting untuk ternakan yang terdapat di kawasan pantai Australia. Rumpai laut seperti Luminaria dan Fucus juga dijadikan makanan haiwan ternakan. Malah di Ireland dan Scotland terdapat industri pemprosesan rumpai untuk tujuan ini.

  3. makanan untuk manusia. Ini boleh dilihat apabila manusia menyedari bahawa beberapa rumpai laut terutama alga merah dan alga perang boleh dijadikan sebahagian daripada diet. Namun cara memakannya berbeza-beza bergantung kepada kebudayaan masing-masing. Rumpai laut ini boleh dimakan mentah, dimasak atau dikeringkan. Tumbuhan ini merupakan sumber yang baik bagi beberapa vitamin dan mineral selain mempunyai kandungan protein yang tinggi. Ini seperti rumpai Gracilaria coronopifolio (alga merah) dan Entermorha prolifera (alga hijau).

KEBURUKAN RUMPAI

Rumpai melalui takrifnya sendiri cukup mengambarkan yang ia suatu tumbuhan yang banyak memberi masalah, kerugian atau memberi kesan buruk kepada manusia dan juga haiwan. Kesan-kesan buruk ini mungkin dapat dilihat secara langsung atau tidak langsung. Walau bagaimanapun, akan diterangkan secara umum keburukan akibat rumpai ini. Perbincangan tidak akan hanya berkisar kepada kerugian yang dialami dalam sektor pertanian sahaja tetapi akan dibincangkan juga keburukannya kepada aspek-aspek lain. Kerugian yang ditimbulkan oleh rumpai sukar dinilaikan terutama kerugian yang wujud secara tidak langsung.

Keburukan akibat rumpai adalah seperti kesan buruk rumpai keatas bidang pertanian, kesan rumpai kepada manusia dan haiwan, kesan rumpai keatas pengaliran air sungai dan kolam, dan lain-lain kesan lagi.


KESAN RUMPAI KEPADA SEKTOR PERTANIAN

Rumpai menimbulkan kesan yang sangat jelas ke atas pengeluaran hasil pertanian. Ini kerana rumpai biasanya lebih agresif dan dapat menyesuaikan pertumbuhannya walaupun dalam keadaan yang kurang baik. Sifat begini biasanya dipunyai oleh kebanyakan spesies rumpai yang hidup di dalam kawasan pertanian. Selain daripada sifat yang dinyatakan itu, rumpai juga mempunyai beberapa sifat lain yang agak istimewa berbanding dengan tanaman. Kesemua sifat ini akan menolong rumpai untuk bersaing dengan tanaman. Rumpai lebih berjaya dalam persaingan terhadap nutrien, air, karbon dioksida, dan cahaya jika dibandingkan dengan tanaman. Ini menyebabkan kemerosotan hasil dalam kebanyakan kawasan pertanian. Dalam tanaman tertentu, rumpai menyebabkan peratus kemerosotan yang sangat tinggi. Ini seperti rumpai Echinochloa crus-galli yang tumbuh dalam sawah dan bersaing dengan pokok-pokok padi dan akan mengakibatkan pengeluaran padi merosot.

Rumpai selain daripada mengurangkan hasil ia juga akan menjejaskan kualiti tanaman disamping meningkatkan kos pengeluaran. Ini kerana biji atau serpihan daripada rumpai sering bercampur dengan hasil tuaian. Ini sering berlaku semasa menuai tanaman bijirin dengan menggunakan alat jentera. Bijirin yang tercemar dengan biji-biji rumpai mempunyai harga pasaran yang rendah. Contohnya, padi yang bercampur dengan biji-biji

rumpai akan dikelaskan dengan gred yang rendah. Malah bahagian-bahagian tanaman yang bercampur dengan biji-biji rumpai akan menyebabkan kerosakan semasa penyimpanan. Serpihan rumpai biasanya lembap dan semasa pereputan haba akan terbebas dan kulat pada serpihan rumpai boleh menjangkiti tanaman dan merosakkannya. Semua ini akan menjejaskan kualiti tanaman.

Rumpai turut meningkatkan kos pengeluaran kerana penggunaan buruh dan racun rumpai bagi mengawal pertumbuhannya. Merumput rumpai perlu dilakukan terutama dalam peringkat tertentu dalam masa pertumbuhan tanaman. Misalnya, dalam tanaman kacang tanah,rumpai perlu sentiasa dijaga rapi dalam tempoh 4 minggu pertama. Jika ia tidak dijaga rapi dalam tempoh ini, maka pertumbuhan pokok akan terencat. Ini akan merugikan petani.


KESAN RUMPAI KE ATAS MANUSIA DAN HAIWAN

Tikus merupakan pembawa penyakit sampar dan gemar hidup di kawasan belukar. Kuman penyakit ini iaitu sejenis bakteria Yarsinia pestis, berjangkit daripada seekor tikius kepad seekor tikus yang lain oleh sejenis kutu Xenopsylla cheopsis. Apabila tikus ini mati, kutu tikus pembawa ini boleh menjangkiti manusia dan menyebabkan penyakit tersebut. Biasanya rumpai yang hidup berhampiran air, misalnya Eichhornia crassipes menjadi tempat yang sesuai kepada tikus pembawa kuman tersebut. Terdapat banyak lagi contoh yang menunjukkan rumpai boleh menjadi habitat kepada vektor. Misalnya lalat Stomoxys dan Tabanus hidup di kawasan belukar dan membawa Trypanosoma evansi yang boleh menyebabkan penyakit surra pada lembu.

Terdapat juga rumpai yang mengandungi sebatian kimia yang boleh menyebabkan keracunan kepada manusia dan haiwan ternakan yang memakannya. Ada spesies rumpai yang mengandungi aras oksalat larut yang tinggi seperti Halogeton glomeratus dan terdapat juga rumpai yang mengandungi asid hidrosianik seperti Prunus. Selain bahan-bahan tersebut terdapat beberapa lagi bahan beracun yang boleh didapati pada rumpai. Bahan-bahan beracun ini boleh didapati terkumpul di bahagian biji, beri, umbisi atau daun. Di Afrika Selatan, biji-biji Senecio sp. yang bercampur dengan gandum telah menyebabkan keracunan kepada manusia.

Daripada beberapa contoh di atas jelas menunjuk adanya hubungan rumpai dengan kesihatan dan keracunan terhadap manusia dan haiwan ternakan.


KESAN RUMPAI KE ATAS PENGALIRAN AIR SUNGAI DAN KOLAM

Rumpai akuatik tidak kurang juga menimbulkan masalah dalam sistem perparitan di negara ini. Rumpai-rumpai seperti Lemna, Pistia, dan Eichhornia crassipes, menimbulkan pelbagai masalah yang perlu dikawal setiap masa kerana ia hidup dalam parit dan kolam-kolam boleh menyekat pengaliran air. Perahu tidak dapat bergerak dalam sungai-sungai yang dipenuhi dengan rumpai akuatik. Keadaan ini akan mengganggu laluan di sungai yang merupakan sistem perhubungan yang penting disesetengah kawasan.

Ikan juga sukar untuk hidup di kolam-kolam yang ditumbuhi dengan rumpai seperti Lemna, Pistia, dan Salvinia di permukaan airnya. Disebabkan kandungan oksigen di dalam air ini sangat rendah serta kekurangan cahaya menyebabkan ikan tidak sesuai untuk hidup.


KESAN-KESAN RUMPAI YANG LAIN

Rumpai juga memberi kesan keatas penjagaan kawasan rekreasi, taman dan padang permainan. Kewujudan rumpai di kawasan tersebut akan mencacatkan pemandangan dan menyukarkan pergerakan. Ia juga akan mencacatkan kecantikan sesuatu kawasan tersebut.

Selain itu rumpai turut memberi kesan ke atas kualiti ternakan. Ini boleh dilihat apabila haiwan ternakan seperti lembu tenusu telah menghasilkan susu yang rendah kualitinya. Ini kerana rumpai seperti rumpai dari genus Allium spp. yang terdapat di padang-padang ragut.


PENGAWALAN RUMPAI

Rumpai boleh menyebabkan kerugian yang besar dalam penghasilan tanaman, dan keindahan alam sekitar. Oleh yang demikian rumpai perlulah dikawal pertumbuhannya. Terdapat pelbagai kaedah pengawalan rumpai yang boleh digunakan. Antaranya, kawalan secara mekanik, kawalan secara biologi, kawalan secara pencegahan melalui amalan yang baik dan kawalan secara menggunakan racun rumpai.


KAWALAN MEKANIK

Kawalan secara mekanik ialah termasuk kawalan dengan tangan seperti mencabut, mencangkul, menebas keluar rumput daripada tanah (jika kawasan kecil). penggunaan mesin pemotong, bajak, penggembur sesuai digunakan sekiranya kawasan pertanian yang luas. ini memudahkan lagi kerja pengawalan di samping menjimatkan masa, kos, dan tenaga manusia.


KAWALAN BIOLOGI

Kaedah pengawalan ini melibatkan penggunaan haiwan seperti kulat, parasit, bakteria dan pelbagai organisma lagi. Kaedah ini juga melibatkan penggunaan binatang ternakan seperti lembu, kambing,biri-biri dan kerbau. Kaedah ini sesuai terutama di kawasan padat dengan rumpai.


AMALAN LADANG YANG BAIK (GAP)

Pembiakan rumpai dapat dikawal jika beberapa langkah pengawalan telah dilakukan diperingkat awal lagi, seperti menggunakan biji benih yang bermutu tinggi dan bersih daripada biji benih rumpai. Menggunakan alat-alat pembajak, yang bersih dan dicuci selepas menggunakannya. Selain itu pastikan biji rumpai yang telah di potong tidak dibuang merata tempat sehingga boleh bercampur semula dengan biji benih tanaman. Sekiranya petani mengamalkan GAP ini ,berkemungkinan tanaman mereka menghasilkan hasil yang baik boleh ditingkatkan.


KAWALAN RACUN RUMPAI

Penggunaan racun rumpai dalam mengawal pertumbuhan adalah suatu kaedah yang dapat menjimatkan kos dan masa serta sering digunakan dalam bidang pertanian pada masa ini. Penggunaan racun rumpai yang baik dan sesuai dapatmenghalang pembiakkan dan memusnahkan rumpai di kawasan pertanian.

Racun rumpai yang digunakan boleh berbentuk organik dan bukan organik.


KESIMPULAN

Rumpai walaupun melalui takrifnya membawa makna kepada yang lebih buruk daripada memberi kesan baik atau kebergunaan, ia tetap penting kepada ekosistem bumi kita. Rumpai boleh di kawal dan pengawalan yang betul dapat menjimatkan kos, masa , dan tenaga. Rumpai juga menjadi sumber makanan kepada manusia dan haiwan ternakan.

BIBLIOGRAFI

Ismail Sahid 1989. Sains Rumpai. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ahmad Azly b. Mohd.Yusof 1988. Rumpai: Panduan Berilustrasi. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ahmad Ismail 1995. Rumpai Laut Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Noormaizurah Omar.1999. Rumpai - Kebaikan, Keburukan & Pengawalan.UKM

Wednesday, January 13, 2010

SELAMAT TAHUN BARU 2010

dalam kesempatan ini, editor puspatani.blogspot.com ingin mengucapkan

salam maal hijrah 1431
dan
selamat tahun baru 2010