gambar kredit: Prof Madya Dr Norsida Man
Mengikut definisi, agropelancongan atau juga dikenali agrotourism merupakan satu konsep pelancongan yang berkembang pesat kerana Malaysia menawarkan pelbagai aktiviti kegiatan dan perniagaan tambahan berasaskan sosio budaya dalam kegiatan pertanian, perikanan penternakan kepada para pelancong. Malaysia sebagai negara yang kaya dengan hasil pertanian mempunyai hasil bumi yang subur dan pelbagai.
Antara aktiviti yang mendapat sambutan dalam agropelancongan ini adalah “Agri Education (lawatan ke dusun buah-buah dan ladang ternakan, penyelidikan, menghadiri kursus, latihan atau seminar), rekreasi dan riadah, aktiviti kemasyarakatan., homestay dan sebagainya.
Agensi utama yang membangunkan agropelancongan ialah Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani sementara Kementerian Pelancongan membantu dari aspek promosi.
UPM mempunyai pelbagai kelebihan berbanding universiti lain seperti kawasan kampus yang luas, kekuatan dalam bidang pertanian dan perhutanan serta jumlah pelajar yang ramai. UPM boleh menggunakan tenaga pelajar sendiri sebagai pemandu pelancong universiti. Secara tidak langsung, ia menjadi landasan kepada mereka menimba pengalaman bekerja dan menambah pendapatan.Sekiranya konsep universiti agropelancongan ini dapat direalisasikan UPM mampu meraih pendapatan yang lebih.
Petikan akhbar utusan online arkib 28 Jan 2013 - Edu-pelancongan UPM
EDU-PELANCONGAN yang mengetengahkan kampus Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai 'Green Botanical Campus' telah diisytiharkan sebagai produk pertama pelancongan negara pada tahun ini.
Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, pengisytiharan itu adalah selari dengan matlamat kementerian untuk membangunkan dan menghasilkan lebih banyak produk pelancongan Malaysia yang inovatif dan kreatif.
Katanya, edu-pelancongan itu akan memberikan peluang kepada golongan muda, khususnya pelajar di UPM bergiat secara aktif dalam bidang tersebut sebagai pemandu pelancong dan penterjemah.
"UPM dipilih kerana banyak kawasan menarik boleh didapati di universiti ini yang berpotensi untuk dibangunkan produk pelancongan berasaskan pertanian dan perhutanan khususnya agribio dalam usaha menarik lebih ramai pelancong asing ke negara ini.
"Dengan keluasan tanah lebih 1,100 hektar, UPM mempunyai koleksi biodiversiti berjumlah 100,000 spesimen muzium dan 16,000 spesimen hidup," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Pakej Pelancongan UPM sempena prapelancaran Kempen Promosi Tahun Melawat Malaysia (VMY) 2014 di sini hari ini.
Yen Yen menjangkakan lebih 100,000 pengunjung akan mengunjungi kempen promosi VMY yang diadakan selama tiga hari bermula hari ini.
Beliau berkata, pelbagai aktiviti menarik serta pameran diadakan, termasuklah 1Malaysia Food Court yang menjual pelbagai hidangan melibatkan 13 buah negeri di Malaysia.
Selain itu, katanya, pengunjung juga berpeluang memenangi lebih 2,000 hadiah cabutan bertuah bernilai lebih kurang RM450,000 termasuk hadiah utama kereta Chevrolet Orlando SUV bernilai RM118,888 sumbangan Naza.
Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Ir. Dr. Mohd. Saleh Jaafar berbangga dengan inisiatif Kementerian Pelancongan yang menjadikan UPM sebagai sebuah destinasi pelancongan untuk menarik kedatangan pengunjung dari luar dan dalam negara.
"Kini, sebanyak 30 orang pelajar sudah dilatih untuk menjadi pemandu pelancong dengan bantuan tiga agensi pelancongan, selain pemilihan tujuh lokasi untuk membangunkan pakej tersebut," katanya.