Sunday, April 14, 2013
Tuesday, April 9, 2013
AGRO PELANCONGAN UPM
gambar kredit: Prof Madya Dr Norsida Man
Mengikut definisi, agropelancongan atau juga dikenali agrotourism merupakan satu konsep pelancongan yang berkembang pesat kerana Malaysia menawarkan pelbagai aktiviti kegiatan dan perniagaan tambahan berasaskan sosio budaya dalam kegiatan pertanian, perikanan penternakan kepada para pelancong. Malaysia sebagai negara yang kaya dengan hasil pertanian mempunyai hasil bumi yang subur dan pelbagai.
Antara aktiviti yang mendapat sambutan dalam agropelancongan ini adalah “Agri Education (lawatan ke dusun buah-buah dan ladang ternakan, penyelidikan, menghadiri kursus, latihan atau seminar), rekreasi dan riadah, aktiviti kemasyarakatan., homestay dan sebagainya.
Agensi utama yang membangunkan agropelancongan ialah Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani sementara Kementerian Pelancongan membantu dari aspek promosi.
UPM mempunyai pelbagai kelebihan berbanding universiti lain seperti kawasan kampus yang luas, kekuatan dalam bidang pertanian dan perhutanan serta jumlah pelajar yang ramai. UPM boleh menggunakan tenaga pelajar sendiri sebagai pemandu pelancong universiti. Secara tidak langsung, ia menjadi landasan kepada mereka menimba pengalaman bekerja dan menambah pendapatan.Sekiranya konsep universiti agropelancongan ini dapat direalisasikan UPM mampu meraih pendapatan yang lebih.
Petikan akhbar utusan online arkib 28 Jan 2013 - Edu-pelancongan UPM
Oleh GARRET DAWUM
Gambar RUSHDI SALLEH
kampus@utusan.com.my
Gambar RUSHDI SALLEH
kampus@utusan.com.my
EDU-PELANCONGAN yang mengetengahkan kampus Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai 'Green Botanical Campus' telah diisytiharkan sebagai produk pertama pelancongan negara pada tahun ini.
Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, pengisytiharan itu adalah selari dengan matlamat kementerian untuk membangunkan dan menghasilkan lebih banyak produk pelancongan Malaysia yang inovatif dan kreatif.
Katanya, edu-pelancongan itu akan memberikan peluang kepada golongan muda, khususnya pelajar di UPM bergiat secara aktif dalam bidang tersebut sebagai pemandu pelancong dan penterjemah.
"UPM dipilih kerana banyak kawasan menarik boleh didapati di universiti ini yang berpotensi untuk dibangunkan produk pelancongan berasaskan pertanian dan perhutanan khususnya agribio dalam usaha menarik lebih ramai pelancong asing ke negara ini.
"Dengan keluasan tanah lebih 1,100 hektar, UPM mempunyai koleksi biodiversiti berjumlah 100,000 spesimen muzium dan 16,000 spesimen hidup," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Pakej Pelancongan UPM sempena prapelancaran Kempen Promosi Tahun Melawat Malaysia (VMY) 2014 di sini hari ini.
Yen Yen menjangkakan lebih 100,000 pengunjung akan mengunjungi kempen promosi VMY yang diadakan selama tiga hari bermula hari ini.
Beliau berkata, pelbagai aktiviti menarik serta pameran diadakan, termasuklah 1Malaysia Food Court yang menjual pelbagai hidangan melibatkan 13 buah negeri di Malaysia.
Selain itu, katanya, pengunjung juga berpeluang memenangi lebih 2,000 hadiah cabutan bertuah bernilai lebih kurang RM450,000 termasuk hadiah utama kereta Chevrolet Orlando SUV bernilai RM118,888 sumbangan Naza.
Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Ir. Dr. Mohd. Saleh Jaafar berbangga dengan inisiatif Kementerian Pelancongan yang menjadikan UPM sebagai sebuah destinasi pelancongan untuk menarik kedatangan pengunjung dari luar dan dalam negara.
"Kini, sebanyak 30 orang pelajar sudah dilatih untuk menjadi pemandu pelancong dengan bantuan tiga agensi pelancongan, selain pemilihan tujuh lokasi untuk membangunkan pakej tersebut," katanya.
PENGURUSAN KOLAM TERNAKAN
Pengurusan kolam merupakan aktiviti yang penting dalam bidang akuakultur. Pengurusan kolam bermula dari benih ikan mula dilepaskan sehinggalah ikan-ikan yang diternak mencapai saiz pasaran dan kerja-kerja mengutip hasil dijalankan. Pengurusan yang baik akan menentukan kejayaan dalam bidang ternakan ikan, projek dapat diteruskan dan memberi keuntungan kepada penternak.
Langkah-langkah yang perlu diberi perhatian dalam pengurusan kolam:
1. Perlepasan benih.
Saiz benih.
Saiz benih yang sesuai untuk dilepaskan ke dalam kolam ternakan adalah bergantung kepada jenis ikan seperti berikut:-
- Lampam Jawa 2.5 cm
- Tilapia Merah 5.0 cm
- Keli 5.0 cm
- Jelawat 10.0 cm
- Kap Rumput 10.0 cm
- Patin 5.0 cm
Kebiasaannya ternakan secara monokultura diamalkan oleh penternak. Penentuan kadar perlepasan adalah ditentukan oleh perkara-perkara berikut:
- Jenis dan kelakuan ikan.
- Saiz pasaran yang dikehendaki.
- Keadaan alam sekitar yang disediakan untuk ikan hidup dan membesar.
- Kemampuan penternak untuk menyediakan makanan.
Kadar perlepasan adalah seperti berikut :-
- Lampam Jawa 5 ekor/m2
- Tilapia Merah 5 ekor/m2
- Keli 50 ekor/m2
- Jelawat 3 ekor/m2
- Kap Rumput 3 ekor/m2
- Patin 5 ekor/m2
Masa yang sesuai untuk melepaskan benih ikan adalah pada waktu pagi dan lewat petang. Elakkan melepaskan benih pada waktu tengahari di mana pada saat itu cuaca panas dan suhu air kolam terlalu berbeza dengan suhu air dalam bekas ikan. Suhu yang terlalu berbeza akan menyebabkan benih yang dilepaskan akan mengalami ketegangan dan boleh mengakibatkan kematian yang tinggi semasa benih dilepaskan ke dalam kolam.
Tindakan-tindakan sebelum benih dilepaskan.
Benih yang diterima dari pembekal lazimnya dibungkus dalam beg plastik yang mengandungi gas oksigen. Semasa dalam perjalanan dari hatcheri ke kolam, suhu air akan berubah. Oleh itu sebelum benih dilepaskan, rendamkan beg plastik ke dalam kolam selama 15 minit atau sehingga suhu air dalam beg plastik sama dengan suhu air kolam.
Kadangkala benih juga diangkut dengan lori khas. Biasanya benih ditempatkan di dalam tangki yang dimuatkan di dalam lori dan dibekalkan dengan pengudaraan. Dalam kes begini, penternak harus terlebih dahulu menyukat suhu dari dalam tangki dan suhu air kolam dan bandingkan. Sekiranya suhu air dalam bekas lebih tinggi dari suhu air kolam, maka penternak perlu menambah air batu ke dalam tangki supaya suhu air menurun sehingga ke paras yang sama dengan suhu air kolam. Sekiranya suhu air kolam lebih tinggi dari suhu air dalam bekas benih maka tindakan untuk menjemur tangki perlu dilakukan sehingga suhu air meningkat dan sama dengan suhu air kolam.
Kaedah perlepasan benih ikan.
Bagi benih yang dibungkus di dalam beg plastik, penternak memastikan terlebih dahulu bahawa suhu air dalam beg plastik dan suhu air kolam adalah sama.Setelah suhu sama, buka ikatan beg plastik dan masukkan air kolam sedikit demi sedikit ke dalam beg plastik dan biarkan benih keluar sendiri dari beg plastik.
Bagi benih yang diangkut dengan lori, tangkap benih dan bubuh di dalam bekas. Bawa bekas tersebut di tebing kolam dan masukkan air kolam ke dalam bekas sedikit demi sedikit dan kemudian biarkan benih berenang keluar dari bekas.
2. Kawalan pertumbuhan plankton.
Kekeruhan air yang disebabkan oleh fitoplankton dan zooplankton tidak akan memudaratkan ikan secara langsung. Fitoplankton bukan sahaja mengeluarkan oksigen semasa proses fotosintesis malahan menjadi makanan kepada zooplankton dan beberapa spesies ikan seperti kap perak. Fitoplankton juga akan menggunakan ammonia yang dikeluarkan oleh ikan sebagai sumber nutriennya. Zooplankton pula merupakan makanan semulajadi yang utama kepada benih ikan. Para penternak harus memastikan bahawa tidak terdapat terlalu banyak plankton di dalam kolam kerana plankton akan menggunakan sumber oksigen terlarut yang sedia ada untuk proses pernafasan pada waktu malam. Selain dari itu, pertumbuhan plankton yang keterlaluan, dikenali sebagai ledakan ( bloom ) akan menyababkan kekurangan oksigen dalam air secara mendadak. Keadaan ini berlaku apabila fitoplankton itu mati. Para penternak perlu mengawasi kandungan oksigen terlarut dalam kolam ternakan. Perbezaan kandungan oksigen terlalrut yang besar antara waktu siang dan malam akan menyebabkan kekurangan oksigen yang serius.
Untuk mengatasi masalah di atas, penternak perlu mengeluarkan lima puloh peratus air kolam sediada dan gantikan dengan air bersih. Selain dari itu pastikan semua makanan yang diberi habis dimakan oleh ikan dan tiada sisa yang boleh menyebabkan kesuburan kolam meningkat. Ikan kap perak boleh dilepaskan untuk mengawal pertumbuhan plankton yang melampau.
3. Pertukaran air.
Dalam tempoh ternakan, mutu air perlu diperiksa dari masa ke semasa. Ini bertujuan untuk memastikan mutu air sentiasa berada pada tahap yang baik dan sesuai untuk ikan hidup dan membesar. Walaubagaimanapun pada keadaan tertentu, air perlu ditukar atau diganti. Kebiasaannya air kolam sediada dibuang sebanyak 50 peratus dan kemudian dimasukkan air baru. Keadaan ini akan meningkatkan kualiti air. Bagi sistem tertutup, biasanya air dialirkan sepanjang masa dan jumlah pertukaran air berlaku antara 50 – 100 peratus.
4.Pemakanan Ikan.
Jenis-jenis Makanan.
a. Makanan semulajadi.
Makanan semulajadi adalah terdiri dari makanan asasi seperti plankton yang terdiri dari fitoplankton dan zooplankton. Makanan ini penting bagi benih ikan diperingkat asuhan. Makanan ini dihasilkan melalui ternakan makanan hidup. Di antara makan hidup yang mudah dihasilkan ialah moina, rotifer, cladosera, daphnia dan sebagainya. Ikan seperti kap perak dan kap kepala besar hanya memakan makanan semulajadi sepanjang hayatnya.
b. Makanan tambahan.
Makanan tambahan adalah terdiri dari bahan-bahan dari alam semulajadi dan sisa pertanian. Makanan tambahan adalah terdiri dari
- Daun tumbuhan seperti daun ubi, kangkong dan pisang.
- Sisa sayuran.
- Dedak padi, gandum dan barli.
- Ikan baja.
Makanan rumusan adalah merupakan makanan yang lengkap dan seimbang. Ia terdiri dari campuran karbohiderat, protin, lemak, mineral dan vitamin. Sumber campuran tersebut adalah terdiri dari bahan-bahan berikut:
i. Sumber protin terdiri dari:
• Fish meal.
• Hampas kacang soya.
• Hampas kacang tanah.
• Serbuk bulu
ii. Sumber karbohiderat.
• Dedak padi.
• Dedak gandum
• Dedak barli.
iii. Sumber lipid.
• Minyak ikan.
Makanan rumusan biasanya dalam bentuk basah dan kering. Makanan rumusan kering yang dipanggil pelet lebih digemari oleh penternak kerana ia mudah didapati di pasaran dan mudah disimpan. Ada pelet yang tenggelam dan ada yang timbul. Pelet timbul lebih digemari oleh penternak kerana penternak dapat memberi makanan sedikit demi sedikit dan dapat menganggarkan makanan yang diperlukan oleh ikan. Keadaan ini dapat mengelakkan pembaziran makanan.
Makanan rumusan atau pellet terdiri dari 3 kategori iaitu
i. Pelet Starter
Merupakan makanan permulaan yang diberikan kepada benih yang baru dilepaskan ke dalam kolam ternakan sehingga berumur 1 – 2 bulan. Biasanya mengandungi protin melebihi 32 peratus dan bersaiz kecil ( kurang dari 1.0 mm ).
ii. Pelet grower.
Merupakan makanan untuk tumbesaran. Mengandungi protin melebihi 20 peratus. Saiznya lebih besar dari pellet starter. Di beri kepada ikan yang berumur melebihi 1 – 2 bulan hingga berumur
4 – 5 bulan.
iii. Pelet finisher.
Merupakan makanan penamat. Mengandungi protin antara 18 – 24 peratus. Saiznya lebih besar dari makanan tumbesaran. Diberi kepada ikan yang berumur melebihi 4 – 5 bulan sehingga mencapai saiz pasaran.
d. Kadar pemberian makanan.
Kadar pemberian makanan bermaksud jumlah makanan yang perlu diberi kepada ikan berdasarkan berat makanan dan umur ternakan bagi setiap hari sepanjang tempoh ternakan.
e. Kadar penukaran makanan ( Food Conversion Rate )
Kadar penukaran makanan ( Food Conversion rate – FCR ) bermaksud keupayaan sesuatu jenis ikan menukar beberapa kilogram makanan kepada 1 kilogram berat badan dalam suatu tempoh ternakan.Contohnya :
FCR 2 : 1
Nisbah di atas bermaksud 3 kilogram makanan diperlukan untuk menghasilkan 1 kilogram ikan.
f. Menganggarkan jumlah makanan yang diperlukan oleh ikan ternakan bagi satu jangka masa ternakan.
Untuk menentukan jumlah makanan yang diperlukan oleh ikan bagi satu jangka masa ternakan, kerja-kerja penyampelan perlu dilakukan ke atas ternakan. Biasanya kerja-kerja ini dilakukan dengan kekerapan sekali bagi setiap dua minggu. Contohnya, sekiranya ternakan itu dijalankan selama 6 bulan ini bermakna kerja-kerja penyampelan dijalankan sebanyak 11 kali. Kerja-kerja penyampelan dilakukan dengan menangkap ikan dari sesuatu kolam secara rawak menggunakan jala. Sebanyak 50 – 100 ekor ikan akan ditangkap dan ditimbang berat serta diukur panjang dan direkodkan. Kirakan purata berat dan anggarkan bilangan ikan yang masih ada di dalam kolam. Darabkan berat purata dengan jumlah ikan yang terdapat di dalam kolam berkenaan untuk mendapatkan jumlah berat ikan. Kemudian darabkan jumlah berat badan dengan peratus makanan yang dicadangkan dari berat badan.
Contoh :
Berat purata ikan - 50 gram.
Jumlah ikan - 5,000 ekor.
Kadar pemberian makanan - 10 % dari Berat Badan
Jumlah berat ikan - 50 gram x 5,000 ekor
= 250,000 gram
= 250 kg.
Jumlah makanan yang diperlukan = 250 kg x 0.1 %
= 25.0 kg
Ini bermakna jumlah makanan yang perlu diberi kepada ikan dalam kolam ternakan berkenaan adalah sebanyak 25 kg setiap hari selama 14 hari berikutnya. Ualngi proses penyampelan ini sehingga ke 14 hari terakhir sebelum kutipan hasil dimulakan.
Kaedah pemberian makanan.
a. Cara tabur.
Kaedah ini biasa digunakan oleh penternak kecil. Makanan dimasukkan ke dalam bekas seperti baldi dan penternak akan membawa makanan tersebut ke sekeliling kolam sambil menabur makanan. Kaedah ini di dapati sesuai bagi kolam-kolam kecil terutamanya kolam konkrit.
b. Menggunakan petak makanan.
Petak makanan berbentuk segiempat dan diperbuat dari buloh atau batang paip PVC yang boleh timbul dipermukaan air. Tambatkan petak makanan berkenaan pada jeti supaya ia tidak dihanyutkan oleh air dan tiupan angin. Makanan akan dicampakkan ke dalam petak makanan dan timbul dipermukaan. Ikan akan datang berbondong-bondong untuk mengambil makanan tersebut. Kaedah ini sesuai bagi makanan yang boleh timbul seperti pellet dan daun tumbuh-tumbuhan. Melalui cara ini jadual pemberian makanan harian perlu ditetapkan dan sebelum makanan diberi buat isyarat memanggil ikan seperti mengetuk pelantar beberapa kali untuk menarik perhatian ikan. Jika masa makanan diberi ditetapkan setiap hari misalnya jam 10.00 pagi, ikan-ikan dengan sendiri berkumpul dipetak makanan pada jam 10.00 pagi untuk menerima habuan mereka.
c. Menggunakan mesin penyembur makan.
Mesen penyembur makanan adalah modifikasi dari mesen fogging yang digunakan untuk menyembur racun serangga. Injin mesen ini menggunakan sumber tenaga dari petrol. Pelet dimasukkan ke dalam tabung makanan dan penternak menyemburkan makanan ke dalam kolam dari tebing. Kaedah ini sangat baik kerana makanan dapat diberi keserata kolam dan ikan atau udang mendapat makanan di mana sahaja mereka berada dalam kolam. Alat ini sesuai digunakan di kolam yang bersaiz besar atau yang melebih 0.2 hektar.
d. ‘ Demand Feeder ‘
Alat ini tediri dari tabung makanan, injap dan padel yang terendam di dalam air kolam. Alat ini dipasang ditebing kolam. Makanan dimasukkan ke dalam tabung makanan berbentul silo dengan bahagian bawahnya berbentuk kun dan dipasang injap. Injap ini akan terbuka sekiranya padel digerakkan. Apabila hendak makan ikan-ikan akan menyentuh padel dan pergerakkan ini akan membuka injap dan makanan akan jatuh ke dalam kolam. Ikan-ikan akan merebut makanan tersebut. Penternak perlu memeriksa tabung makanan dan mengisinya semula apabila makanan di dalam tabung itu habis dimakan ikan.Proses ini akan berulangan sehinggalah semua ikan sudah kenyang.
Kaedah ini merupakan kaedah yang terbaik kerana ikan akan mengambil makanan secukupnya sehingga kenyang. Ini bermakna ikan sentiasa mendapat makanan yang mencukupi dan berterusan. Keadaan ini akan mempercepatkan tumbesaran ikan.
e. ‘ Automatic Feeder ‘
Alat ini terdiri dari bekas makanan, injap saluran keluar makanan dan alat penggera automatik. Makanan diisi kedalam bekas makanan. Alat penggera ini boleh diset mengikut waktu yang diperlukan. Apabila sampai waktunya alat penggera akan berbunyi,ikan akan berkumpul di bawah alat ini, injap terbuka dan makanan akan jatuh kedalam kolam mengikut jumlah yang telah ditentukan.
5. Kawalan pesaing dan musuh.
Pesaing.
Pesaing kepada ikan ternakan adalah terdiri dari ikan-ikan liar, berudu katak dan tumbuh-tumbuhan air. Pesaing berkenaan akan bersaing dengan ikan yang diternak untuk menggunakan ruang tempat tinggal, berebut makanan, bersaing menggunakan oksigen terlarut dan sebagainya.
Pesaing-pesaing berkenaan perlu dihapuskan agar tumbesaran ikan tidak terganggu. Biasanya ikan liar akan memasuki kolam melalui punca air. Untuk mengatasi masalah ini pastikan salauran air masuk dipasang penapis untuk mengelakkan telur dan benih ikan liar memasuki kolam. Untuk mengelakkan katak bertelur di dalam kolam, pastikan kawasan sekitar kolam sentiada besih dan tidak menjadi tempat katak berlindung. Pemeriksaan kolam perlu dilakukan dari masa ke semasa. Sekiranya terdapat telur katak, keluarkannya dari kolam dengan menggunakan penyauk.
Tumbuh-tumbuhan air seperti hydrilla, rumpai dan sebagainya perlu dikeluarkan dari kolam. Selain dari itu ikan kap rumput boleh dilepaskan untuk memakan tumbuh-tumbuhan berkenaan.
Musuh
Musuh ikan ternakan terbahagi kepada tiga kategori seperti berikut:
a. Musuh di daratan.
Di antara musuh di daratan ialah
• Biawak.
• Memerang
Biawak akan menyerang ikan pada waktu siang manakala memerang pula menyerang ikan pada waktu malam. Untuk mengatasi masalah biawak, kawasan kolam boleh di pagar dengan zing. Biawak tidak berkeupayaan untuk memanjat zing. Memerang boleh dikawal dengan memagar kawasan ternakan.
b. Musuh di dalam air.
Di antara musuh ikan di dalam air ialah
• Ular.
• Belut.
• Serangga air ( musuh kepada benih ikan )
Ular air dan ular sawa merupakan musuh ikan yang sukar dikesan. Untuk mengelakkan ular berada di dalam kolam, pastikan kawasan ternakan sentiasa bersih. Jika terdapat ular di dalam kolam, usaha untuk menghapuskannya perlu dilaksanakan. Biasanya belut hidup di dalam lumpur didasar kolam. Dianggap musuh di dalam selimut. Belut akan memakan benih ikan yang dilepaskan. Untuk memastikan belut tidak berada di dalam kolam, kerja-kerja mengapur kolam perlu dijalankan dengan teliti semasa penyediaan kolam. Dasar dan ban kolam yang berlubang perlu dikapur dengan betul supaya telur dan benih belut dapat dihapuskan. Serangga air seperti ‘ dragon fly nymph ‘ merupakan musuh utama benih ikan. Larva ini mesti dihapuskan dengan cara meminyak kolam.
b. Musuh di udara.
Musuh di udara terdiri dari
i. Burung Lang
Burung lang menyerang ternakan pada waktu siang. Ikan yang besar dan telah mencapai saiz pasaran menjadi sasarannya. Serangan lebih berkesan terhadap kolam yang airnya jernih dan ikan mudah dikesan dari udara.
Bagi mengelakkan burung lang mengerang ternakan pastikan air kolam sentiasa hijau agar dapat melindungi ikan dari pandangan burung helang. Kaedah lain ialah tutup kawasan ternakan dengan jarring agar helang tidak dapat menyerang ikan.
ii. Burung Raja Udang atau Pekaka
Burung raja udang menyerang mangsa pada waktu siang. Burung ini akan hinggap pada pokok yang berhampiran dengan kolam untuk mengesan ikan sebelum menyambar mangsa. Mangsa tumpuannya adalah benih ikan yang masih kecil. Burung ini tidak mampu menyerang ikan-ikan besar.
Bagi mengatasi masalah serangan dari burung ini, pastikan tiada pokok atau tiang berhampiran kolam yang boleh menjadi tempat untuk hinggap bagi burung ini. Selain dari itu kawasan ternakan perlu dipagar untuk mengatasi masalah ini.
iii. Burung Gagak
Burung gagak menyerang mangsa pada waktu siang. Mangsanya tertumpu kepada benih ikan yang masih kecil dan ikan-ikan yang lemah berenang dipermukaan air.
Kaedah untuk mengatasi masalah ini ialah hapuskan burung ini kerana ia banyak membawa masalah kepada alam sekitar. Hapuskan tempat burung ini bertenggek semasa hendak mengesaan mangsa.
iv. Burung Hantu
Burung hantu menyerang mangsa pada waktu malam terutamanya pada waktu tengah malam. Biasanya pada masa ini kandungan oksigen larut mula menurun di bahagian dasar kolam tetapi kandungan oksigen terlarut agak tinggi di permukaan air. Oleh itu ikan-ikan akan berada di permukaan air untuk bernafas. Semasa ini burung hantu mudah menyerang ikan.
Kaedah untuk mengatasi masalah ini ialah pastikan air kolam sentiasa hijau dan kandungan oksigen larut sentiasa tinggi. Selain dari itu tutup kawasan ternakan dengan jaring.
6. Pengutipan Hasil.
Masa ternakan.
Masa atau tempoh ternakan adalah bergantung kepada jenis dan saiz benih ikan yang dilepaskan seperti berikut :
• Tilapia merah - 4 - 6 bulan
• Keli - 3 - 4 bulan
• Patin - 4 - 6 bulan
• Lampam Jawa - 8 - 10 bulan
• Kap Rumput - 10 - 12 bulan
• Jelawat - 8 - 10 bulan
Kaedah kutipan.
Biasanya dua kaedah kutipan hasil dijalankan iaitu
a. Kutipan secara berperingkat.
Melalui kaedah ini, hasil ternakan ditangkap secara berperingkat-peringkat menggunakan jala atau pukat tarik. Ikan yang ditangkap disimpan dalam tangki simpanan sementara dan ikan dijual secara runcit . Cara ini ikan dipasarkan secara hidup-hidup. Setelah 90 peratus hasil ditangkap kolam akan dikeringkan dan ikan akan ditangkap ke semuanya.
b. Kutipan sekali gus.
Melalui kaedah ini ikan ditangkap dengan pukat tarik dan operasi ini memerlukan tenaga kerja yang ramai dan mahir. Kemungkinan ikan dipukat beberapa kali dan seterusnya kolam dikeringkan. Ikan-ikan yang ditangkap diangkut dengan lori samada hidup atau mati dan dibawa ke pusat pengumpulan untuk dipasarkan.
Teknik kutipan.
a. Menggunakan pukat tarik.
Menangkap hasil ternakan menggunakan pukat tarik merupakan teknik yang biasa digunakan terutamanya di kolam ternakan. Bagi kolam seluas 0.2 hektar, sebidang pukat berukuran 100 meter panjang dan 4 meter lebar dengan mata pukat 2.5 cm digunakan untuk menangkap ikan.Pukat ini dilengkapi dengan pelampung pada tali kajar atas dan pemberat pada tali kajar bawah. Seramai 6 orang pekerja diperlukan untuk menjalankan operasi ini. Ikan yang terperangkap di dalam pukat dikumpulkan dan pemilihan atau grading dilakukan sebelum hasil dipindahkan ke tangki simpanan.
b. Mengeringkan kolam.
Kaedah ini biasa digunakan apabila jumlah ikan yang terdapat dalam kolam adalah tidak banyak dan ikan sukar ditangkap kerana sudah liar. Walaubagaimanapun teknik ini sering digunakan untuk menangkap udang dan ikan keli. Melalui kaedah ini hasil dapat dipungut 100 peratus.
c. Menggunakan kesan kandungan oksigen terlarut.
Kaedah ini sering digunakan di dalam sistem ternakan tertutup seperti ternakan dalam kolam lucas dan kolam konkrit. Tutup suis kincir air dan saluran air masuk pada awal pagi. Apabila kandungan oksigen terlarut berkurangan ikan akan mula mencari tempat yang mengandungi oksigen terlarut yang tinggi. Bila berlaku keadaan sedemikian, buka ruangan tempat memungut hasil dan buka suis alat pengudaraan. Ruangan tempat memungut hasil akan mengandungi oksigen terlarut yang tinggi dan ikan akan berpusu-pusu ke tempat itu untuk mendapatkan oksigen terlarut. Apabila tempat tersebut penuh dengan ikan, tutup pintu dan ikan dipunggah dan dipindahkan ke tangki simpanan.
Pengendalian lepas tuai.
Selepas hasil dituai, ikan-ikan tersebut jika perlu dinyah bau untuk menghilangkan bau hanyir dan lumpur. Ikan-ikan yang telah bersih boleh dipasarkan sama secara hidup atau mati. Ikan yang hidup dihantar ke pasar dengan menggunakan lori. Ikan-ikan tersebut dimasukkan ke dalam tangki yang ada bekalan air bersih dan lengkap dengan alat pengudaraan. Bagi mengurangkan aktiviti ikan tersebut suhu air perlu direndahkan dengan menggunakan air batu.
Bagi ikan yang dipasarkan secara mati, masukkan ikan-ikan tersebut ke dalam bekas yang ada ais supaya ikan tersebut sentiasa segar sehingga dibeli oleh pengguna. Selain dari itu ikan-ikan tersebut boleh disejukbeku sebelum dipasarkan. Kaedah ini sesuai untuk tujuan pemperosesan.
7. Pemasaran.
Harga.
Biasanya ada tiga kategori harga untuk memasarkan ikan iaitu
a. Harga Ladang.
Harga di ladang ditentukan oleh kos pengeluaran bagi setiap kilogram ikan yang dihasilkan dan dicampur dengan keuntungan yang bakal diperolehi oleh penternak. Di samping itu harga di ladang juga ditentukan oleh permintaan dan penawaran di pasaran.
b. Harga borong.
Harga borong adalah harga yang ditentukan oleh pemborong. Harga ini meliputi harga ladang campur kos pengendalian, kos pengangkutan dan keuntungan yang bakal diperolehi oleh pemborong. Biasanya harga borong lebih tinggi dari harga di ladang.
c. Harga runcit.
Harga runcit merupakan harga yang akan dibayar oleh pengguna. Harga ini jauh lebih tinggi dari harga borong. Harga runcit meliputi harga borong campur dengan beberapa kos yang ditanggung oleh peruncit seperti kos upah, kos menyimpan, kos sewa, keuntungan dan sebagainya.
Sekiranya penternak menjual sendiri hasilnya secara runcit, maka keuntungan yang diperolehi adalah lebih lumayan berbanding dengan menjual hasil kepada pemborong. Namun begitu tidaklah mudah untuk memasarkan hasil yang banyak secara runcit oleh penternak kerana banyak faktor yang perlu dipenuhi.
Pasaran.
Biasanya ikan dipasarkan dalam dua kategori iaitu
a. Pasaran tempatan.
Pasaran tempatan terbahagi kepada dua iaitu
i. Pasar awam.
Ikan-ikan yang dijual di pasar awam adalah dalam dua bentuk iaitu ikan yang dijual secara segar seperti ikan hidup atau ikan basah dan ikan yang disejukbeku. Ikan hidup yang dijual ditempatkan di dalam tangki atau bekas yang diberi bekalan oksigen. Biasanya ikan ini mendapat permintaan yang tinggi dan harga yang ditawarkan agak tinggi berbanding dengan ikan yang disejukbeku.
ii. Pasaraya.
Ikan yang dijual di pasaraya biasanya dalam bentuk sejukbeku dan ikan yang telah siap dibersihkan. Ikan-ikan tersebut dibungkus dengan teliti dan kelihatan cantik untuk menarik minat pengguna. Terdapat juga pasaraya yang menjual ikan yang telah diproses seperti fillet ikan yang siap sedia untuk dimasak. Selain dari itu terdapat juga pasaraya yang menjual ikan hidup seperti ikan keli dan tilapia merah.
b. Pasaran Luar Negara.
Sebahagian dari ikan yang dihasil di negara ini dipasarkan ke luar negara. Ikan hidup dipasarkan ke Singapura. Ikan-ikan tersebut diangkut dengan lori dan dihantar ke Singapura. Selain dari ikan hidup, ikan yang disejukbeku dan juga ikan yang telah diproses menjadi fillet dieksport ke luar negara.
8.Catatan dan Penyimpanan Rekod.
Pengurusan kolam yang baik adalah factor penting dalam mencapai kejayaan dalam bidang akuakultur. Pengurusan yang lemah akan menyebabkan projek akuakultur menemui kegagalan. Pengalaman masa lepas sangat berguna dan berharga dalam merancang projek yang akan datang. Oleh itu, untuk menggunakan sepenuhnya pengalaman yang telah diperolehi, penternak perlu membuat rujukan. Oleh itu demi masa depan penternak perlu menyediakan rekod yang berkaitan dengan aktiviti pengurusan kolam. Rekod yang dimaksudkan adalah seperti berikut :
Rekod pengurusan kolam.
Di antara rekod pengurusan kolam yang perlu disediakan ialah
a. Rekod perlepasan benih ikan.
Rekod ini mestilah mengandungi perkara-perkara berikut:
• No. Kolam.
• Saiz kolam.
• Jenis benih yang diternak.
• Kadar perlepasan.
• Jumlah ikan yang dilepaskan.
• Tarikh benih dilepaskan.
• Jangka masa ternakan.
• Tarikh ikan dihasilkan.
b. Rekod makanan ikan
Dua jenis rekod yang berkaitan dengan makanan perlu diadakan seperti berikut :-
i. Rekod Stok makanan.
Rekod ini berbentuk buku stok. Segala makanan yang dibeli mesti
direkod di dalam buku ini yang meliputi
• Tarikh pembelian.
• Nama pembekal
• Jumlah beg makanan
• Rekod masuk
• Rekod Keluar
• Rekod Baki
• Tandatangan pegawai berkaitan.
ii. Rekod pemberian makanan harian.
Rekod ini perlu disediakan bagi setiap kolam ternakan. Rekodkan jumlah makanan harian yang diberi kepada ikan bermula dari benih dilepaskan sehinggalah dua hari sebelum kutipan hasil dijalankan. Rekodkan juga data-data sampling untuk menentukan jumlah makanan yang perlu diberi untuk tempoh dua minggu selepas sesuatu sampling dijalankan.
Rekod penyampelan.
Rekod penyampelan perlu disediakan dan disimpan dengan rapi untuk rujukan di masa hadapan. Rekod penyampelan ini meliputi perkara berikut :
a. Tarikh dan masa penyampelan dilakukan.
b. Bilangan ikan yang disampel.
c. Bacaan berat ikan.
d. Bacaan panjang ikan.
e. Jantina ikan.
f. Umur ikan.
Rekod pembelian input/stok.
Pembelian input untuk operasi ternakan perlu direkodkan supaya input yang diperlukan sentiasa mencukupi untuk menjalankan ternakan. Rekodkan jenis input, tarikh dibeli, harga, nama pembekal dan bilangan di dalam buku stok. Urusan keluar masuk input mestilah direkodkan untuk memudahkan semakan dan verifikasi stok. Stok yang berkurangan boleh dirancang untuk pembelian input baru.
Rekod jualan.
Rekod jualan perlu diadakan agar penternak tahu dimana hasil musim lalu dipasarkan. Rekod ini meliputi tarikh kutipan hasil dijalankan, kepada siapa ikan dijual, harga jualan dan kuantiti hasil yang telah dijual. Rekod ini penting untuk membuat akaun untung rugi dan perancangan masa hadapan.
Rekod pengeluaran.
Rekod pengeluaran bagi setiap kolam perlu disediakan. Ia meliputi jenis ikan yang diternak, tarikh perlepasan benih, kadar perlepasan, jumlah benih, tempoh ternakan, kadar hidup dan jumlah pengeluaran. Rekod pengeluaran keseluruhan ladang setiap tahun juga direkodkan dan bandingkan dengan pengeluaran keseluruhan tahun-tahun sebelumnya untuk mengetahui samada pengeluaran tahun semasa meningkat atau sebaliknya.
Penutup.
Amalan pengurusan kolam yang baik disamping mengamalkan Kod Amalan Baik Akuakultur boleh menjamin kejayaan seseorang penternak dalam bidang akuakultur. Berdasarkan kepada rekod-rekod yang disediakan seseorang penternak mampu membuat analisa keatas ladangnya dan mampu membuat perancangan yang lebih rapi dan teliti. Melalui data dan pengalaman yang diperolehi pada musim-musim ternakan terdahulu memberi pengajaran dan pengalaman yang berguna kepada penternak untuk berjaya di masa hadapan.