_

Thursday, October 25, 2012

JOM MASUK UPM 2013

untuk makluman lanjut, klik pada gambar di bawah:




PENGHALAU SERANGGA BOTANIKAL


Penggunaan racun serangga berasaskan bahan kimia dalam tempoh panjang memberi kesan kepada manusia, termasuk masalah kulit dan kemusnahan alam sekitar. Di sini saya ingin menunjukkan cara yang mudah, murah dan selamat menghasilkan racun serangga organik yang boleh dihasilkan sendiri di rumah.

Selain itu, kerap juga mendengar mengenai cara penggunaan racun perosak berasaskan bahan kimia yang tidak betul serta boleh mengundang bahaya jika salah menggunakan serta cara penyimpanan.

Tidak perlu memikirkan jenis racun kimia yang dibeli, bagaimana untuk menyimpan di tempat selamat, serta cara yang betul menggunakannya. Cuba anda fikirkan kesan dan akibat salah penggunaan bahan kimia ini.

Konsep yang saya ketengahkan disini adalah mencegah lebih baik daripada merawat.

Berikut adalah jenis-jenis serangga perosak tanaman yang biasa kita jumpa di tanaman:-

Serangga Jenis Mengunyah
  1. Kumbang
  2.  Belalang
  3. Kupu-Kupu
  4. Ulat Bulu
  5. Siput
  6. Lintah Bulan
Serangga Jenis Menghisap (Pembawa virus dan penyakit)
  1. Aphis @ Aphid @ Kutu Daun
  2. Koya
  3. Pianggang
  4. Kutu Thrip
  5. Kulat Putih @ Hamama
Penyediaan Larutan Stok
  • 1 liter air
  • 1 sudu besar minyak masak/ minyak sayur
  • 1 sudu besar sabun basuh
  • 4-6 ulas bawang putih (ditumbuk)
Cara Penyediaan

1. Masukkan minyak masak atau minyak sayur dan sabun ke dalam 1 liter air
2. Tumbuk 4-6 ulas bawang putih dan masukkan ke dalam larutan tadi
3. Setelah dikacau, tapiskan
4. Untuk penyemburan : campurkan 1 bahagian larutan stok dengan 4 bahagian air (1:4)

Bagi serangga jenis mengunyah, campurkan beberapa 2-3 biji cilia api (hancurkan) atau lada hitam (ditumbuk) manakala serangan serangga jenis menghisap, anda perlu campurkan beberapa titis minyak lestari (essential oil) atau halia (ditumbuk) atau serbuk kunyit. Bahan ini adalah campuran yang biasa saya nasihatkan kepada suri rumah atau penggemar lanskap dalam kuantiti yang sedikit. Selain daripada itu, ekstrak tumbuhan lain bagi tujuan kawalan serangga dalam kuantiti yang besar adalah:-

Ekstrak Bawang
Kawal penyakit reput antraknos pokok cili serta hawar cili. Hancurkan 50 gram bawang dalam 1 liter air. Tapis dan semburkan pada pokok.

Campuran Minyak Kayu Putih (Tea Tree Mixture)
Untuk mengawal penyakit lecuh pangkal. Campur 5ml minyak kayu putih ke dalam 10-20 liter air. Gunakan dengan basahkan tanah di sekeliling pokok (Soil Drenching).

Ekstrak Halia
Untuk mengawal penyakit kulapuk. Kisar 20 gram halia dalam 1 liter air. Tapis dan sembur 3 kali seminggu.

Ekstrak Daun Neem (Semambu)
Untuk kawalan vektor seperti kutu daun, trip dan lalat putih. Campurkan 2 Kg daun Neem yang sudah di tumbuk lumat bersama dengan 30 gram sabun basuh. Tinggalkan semalaman dan tapis. (hasilnya dalam bentuk serbuk). Gunakan mengikut nisbah 1:3- jika anda membuat patinya sebanyak 1 liter maka campurkan dengan 3 liter air dan semburkan ke pokok.

Ekstrak Bawang Putih
Juga untuk kawalan vector seperti kutu daun dan trip serta lalat putih. Campurkan 100 gram bawang putih (dicincang) dalam 500 ml air

Tambahkan 10ml minyak masak dan 10gram sabun. Tinggalkan semalaman dan tapiskan. Untuk semburan, campurkan larutan bersama air dengan nisbah 1:200. contohnya jika kita menggunakan 10ml ekstrak pati campurkan dengan 2000 ml air (2 liter).

terdapat juga resepi penghalau serangga di sini 

Wednesday, October 24, 2012

FURADAN ORGANIK

Furadan (nama pasaran untuk CARBOFURAN) merupakan racun sintetik sentuh dan sistemik (diserap melalui akar hingga ke bahagian tumbuhan yang lain), banyak diapliaksikan untuk membunuh serangga perosak dalam bentuk larva dan dewasa, nematod, semut serta perosak yang lain.

Namun,  penggunaan furadan sistetik ini juga memberi kesan kepada manusia kerana kesan furadan (sama ada banyak atau sedikit) masih kekal pada tanaman dan hasil tanaman walaupun penggunaannya dihentikan pada sekitar 75 hari (atau lebih) sebelum memungut hasil tanaman.
 
Bagi menggantikan penggunaan furadan sintetik pada tanaman, berikut adalah kaedah menghasilkan furadan organik (sesuai untuk tanaman sekitar rumah)

Bahan furadan hanya menggunakan tiga bahan utama, iaitu buah jering, belerang, dan pasir. Cara pembuatannya mudah:
  1. ambil 10 biji buah jering (diambil isi jering) dikisar, diparut atau ditumbuk halus
  2. masukkan jering yang telah dikisar, diparut atau ditumbuk halus ke dalam bekas/ besen 
  3. tambahkan 4 camca/ sudu teh belerang/sulfur
  4. tambahkan 6 cawan pasir halus
  5. gaulkan bahan tersebut hingga sebati
  6. tutup bekas/besen dengan pembalut plastik/ wrapper dan simpan di tempat kering selama 1 minggu
furadan organik boleh digunakan dengan mencampurkan dengan tanah untuk tujuan pemasuan, semaian biji benih atau tabur rata di keliling tanaman anda.
 
selamat mencuba!

NEMATOD



Pendahuluan
Nematod adalah sejenis haiwan intertebrata. Sebahagian daripada spesies nematod boleh hidup dalam tanah atau tumbuhan dan sebahagian lagi hidup di dalam air. Nematod hidup dalam tumbuhan dengan memakan kandungan sel-sel akar, batang dan daun. Beberapa spesies nematod pula menjadi vektor kepada virus. 

Nematod hadir dalam hampir setiap jenis tanah dan yang membezakan mereka adalah sama ada mereka menjadi perosak atau tidak kepada perumah pilihan merena, iaitu tanaman yang semuai untuk mendapatkan makanan.

Kerosakan dan Simptom
Secara amnya, nematod menyebabkan kerosakan fizikal ke atas akar, batang atau daun.

Simptom kerosakan pada organ-organ ini biasanya berbentuk lesion, puru dan kehitaman. Keseluruhan pokok nampak kurang sihat dan kelihatan seperti kekurangan zat makanan. Dalam keadaan kemarau atau tegasan yang lain, tanaman menjadi mudah layu. Selain daripada kerosakan fizikal secara langsung, nematod juga mengalakkan jangkitan pathogen-pathogen lain seperti bakteria dan kulat. Sebagai contoh, nematod puru akar iaitu Meloidogyne incognita bersaling tindak dengan Fusarium solani dan seterusnya mengakibatkan kerosakan yang teruk pada tanaman tembakau.

Tanaman yang diserang oleh nematod pada amnya menunjukkan simptom-simptom yang berikut:
  1. Kadar pertumbuhan yang lambat
  2. Klorosis pada daun
  3. Daun mudah gugur dengan banyaknya
  4. Terbantut
Kadar kerosakan pada tanaman jangka panjang agak lambat. Kesan daripada serangan ini lebih ketara jika pokok itu berada di bawah tegasan (under stress) seperti ketika musum kemarau (kering) yang panjang.

Pokok durian yang diserang semasa di dalam keadaan kekurangan air, akan mengalami peluruhan daun yang teruk, mengakibatkan dahan menjadi tidak berdaun dan yang tinggal hanya pucuk-puck jemala pokok. Jika hujan kembali turun, daun akan tumbuh pada bekas-bekas ranting buah.

Kerosakan dari segi merosotnya kualiti dan pengeluaran hasil lebih ketara pada tanaman pisang. Tandan menjadi kecil dengan bilangan sisir dan buah yang semakin kurang.

Simptom penyakit dan kerosakan di permukaan tanah menggambarkan sistem akar yang telah rosak. Pembentukan puru akar pelbagai saiz adalah akibat dari kesan serangan sejenis nematode iaitu Meloidogyne sp. Jika serangan tidak serius puru kelihatan hampir serupa dengan nodul (bintil) yang terbentuk daripada aktiviti bakteria peringkat Nitrogen pada akar perumah. Pada tanaman perumah yang sangat mudah diserang (susceptible) nematod seperti jambu batu dan cili, pembentukan puru boleh mencacatkan akar sehingga ia menjadi reput, bergabus, berwarna hitam dan tanpa akar serabut.

Walau bagaimanapun, serangan spesies nematod yang lain mengakibatkan simptom yang kurang jelas misalnya, tanaman durian yang diserang oleh Xiphinema sp. menunjukkan pertumbuhan yang lambat, akar menjadi pendek dan tebal (stubby) kerana proses pemanjangannya terhenti. Dalam kes serangan nematod Pratylenchus sp. pula, terdapat luka (lesion) di akar yang menyerupai luka-luka yang disebabkan oleh alat-alat mekanikal pertanian atau seperti tanda serangan kulat.

Kaedah-kaedah Kawalan
Prinsip pengurusan perosak bersepadi haruslah diutamakan dalam pengawalan nematod. Aras populasi nematod dalam tanah atau anak benih hendaklah dipastikan sebelum membuat sebarang keputusan untuk mengelakkan pembaziran bahan dan pencemaran alam sekitar.

1. Kaedah Kawalan Kimia
Bahan-bahan bersifat wasap (fumigant) boleh digunakan untuk memusnahkan populasi nematod di dalam tanah. Keadaan tanah yang berstruktur dan agak kering amat perlu untuk mendapatkan kesan pengwapan yang baik. Bahan pewasap ini berbentuk butiran atau cecair. Di antara bahan-bahan yang terbukti sesuai dan baik ialah fenamiphos dan karbofuran.

Keupayaan karbofuran dan fenamifos untuk mengawal nematod didapati berbeza. Fenamifos (contoh: Nemacur) sejenis racun fosfat yang mengikut enxim asetilkolin-esterase di dalam sistem saraf nematod secara tidak bertimbalbalas (irreversible) sementara karbofuran iaitu sejenis racun karbamat (contoh Furadan), mengikut enzim tersebut secara berbalik (reversible) (Spurr 1985). Furadan digunakan pada kadar 50-60 g/pokok. Manakala Nemacur pula pada kadar 20-25 g/pokok. Manakala Nemacur pula pada kadar 20-25 g/ pokok dengan kekerapan 4 bulan/rawatan.

2. Kaedah Kawalan Fizikal
Satu daripada contoh kaedah ini ialah rawatan air panas. Kaedah ini sesuai untuk anak benih seperti sulur tanaman pisang. Pada suhu dan tempoh yang sesuai, nematod dalam akar dan umbi pisang boleh dimusnahkan sebelum menanam. Sulur pisang boleh direndam dalam air bersuhu tetap 55 darjah celsius se;ama 15-20 minit. Populasi nematod merosot dengan ketiadaan tanaman perumah tetapi beberapa peratus daripadanya boleh hidup dengan bergantung kepada keadaan persekitaran. Umpamanya pada tanaman padi, pembajakan yang lama dan dalam boleh mengurangkan H. oryzae tetapi perlu dilakukan dalam keadaan 12 bulan berkeadaan basah dan masa yang lama lagi diperlukan bagi keadaan kering. Pengurusan rumpai yang baik boleh mengurangkan populasi nematod sewaktu ketiadaan padi dan semasa pertumbuhan tanaman yang lain.

3. Kaedah Kawalan Biologi
Kaedah ini masih memerlukan banyak kajian dan percubaan. Namun beberapa organism, seperti Bacillus pentrans (sejenis bacteria) dan Paecilomuces lilacinus (sejenis kulat) berupaya memparasit dan mengurangkan populasi nematod puru akar dalam tanah.

4. Kaedah-kaedah Kawalan Lain
Kaedah-kaedah ini termasuklah penggunaan varieti yang resistan kepada serangan nematod, penggiliran tanaman, penggunaan bahan-bahan organan seperti najis haiwan dan sisa cengkerang atau membiarkan tanah tanpa tanaman yang rentan kepada nematod dan sebagainya.

Penggunaan Tagetes spp Kultivar Harmony dan Harmony
Selain menggunakan kaedah-kaedah yang tersebut di atas, penggunaan Tagetes spp. atau bunga Tahi Ayam boleh mengurangkan aras populasi nematod di dalam tanah. Antara spesies nematod yang dapat dikawal adalah Pratylenchus, Meloidogyne, Tylenchorynchus, Rotylenchus, Helitylenchus dan nematod ektoparasit iaitu Ditylenchus dan Aphelenchoides. Kandungan kimia di dalam akar bunga ini iaitu Thiopene bertindak sebagai racun yang mempunyai prinsip nematisid yang boleh membunuh nematod. Pratylenchus yang memasukki akar akan mati dalam tempoh tiga (3) hari daripada tarikh ia memasukki akar itu. Walau bagaimanapun, pada Meloidogyne ia hanya mempunyai kesan racun kepada nematod itu dalam masa tiga hingga empat minggu selepas memasuki akar. Oleh itu, disyorkan menanam bunga Tahi Ayam ini di sekeliling ladang atau antara barisan pokok atau diselangselikan dengan jarak 60 cm antara tanaman ladang.

Antara kultivar yang mempunyai kesan keracunan terhadap nematod ialah Tagetes patula, Tagets erecta dan Tagetes minuta. Walaupun kaedah ini tidak mempunyai nilai komersial kepada petani, tetapi kesannya terhadap aras populasi nematod di dalam tanah amat berkesan selain daripada mencantikkan pemandangan di sekitar kawasan. Di samping itu, ia tidak mempunyai kesan sisabaki racun dalam tanah dan secara tidak langsung membaiki udara persekitaran.

Thursday, October 11, 2012

HARI TERBUKA PROGRAM PEMINDAHAN ILMU (KTP) 2012

Adalah sukacita dimaklumkan bahawa Pusat Pengembangan, Keusahawanan dan Pemajuan Profesional (APEEC) selaku penyelaras Program Pemindahan Ilmu (Knowledge Transfer Programme), Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menganjurkan Hari Terbuka Program Pemindahan Ilmu (KTP) 2012 yang bertujuan mempromosikan dan mewar-warkan kejayaan UPM memperolehi geran berkenaan untuk komuniti dan industri serta untuk memaklumkan tawaran geran KTP Fasa 3, 2013.  

Butiran program seperti berikut: 

Tarikh: 22 Oktober 2012 (Isnin) 
Masa : 9.00 pagi - 5.00 petang 
Tempat: Pejabat Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), UPM 

Antara yang menarik:
  • pameran projek KTP fasa 1 dan fasa 2 
  • gerai komuniti dan industri  
  • tawaran permohonan geran KTP fasa 3 (2013)

Wednesday, October 10, 2012

DEMONSTRASI PERTANIAN DAN MASAKAN SEMPENA PESTA KONVO UPM


Semua dijemput hadir untuk sama-sama melihat demonstrasi Pertanian & Masakan di Gerai No. 4 pada:

Tarikh: 13-16 Oktober 2012
Masa: 10.00 pagi - 4.00 petang
Tempat: Bukit Ekspo, Universiti Putra Malaysia 

JEMPUTAN KE EKSPO PERTANIAN DAN PESTA KONVOKESYEN UPM 2012


Sempena Majlis Konvokesyen UPM Kali Ke-36, UPM akan mengadakan Pesta Konvokesyen dan Ekspo Pertanian selama 5 hari, bermula pada 12 hingga 16 Oktober 2012, bertempat di Bukit Ekspo, UPM.

Majlis Perasmian Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM tahun 2012 akan diadakan pada 12 Oktober 2012 (Jumaat), jam 2.30 petang, bertempat di Bukit Ekspo UPM. Majlis perasmian ini akan disempurnakan oleh YB. Datuk Seri Haji Noh Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Pelbagai aktiviti akan diadakan sepanjang ekspo tersebut seperti pameran pendidikan, pameran ternakan dan pertanian, penjualan benih tumbuhan, lelongan anak kuda, pertandingan paintball, pertandingan sukan rakyat, pertandingan melukis dan sukan kanak-kanak, pertandingan orkid, berkayak, pertandingan memancing, menunggang kuda, persembahan artis, demonstrasi padang dan pelbagai pertandingan lain yang sesuai untuk pelajar dan seisi keluarga.

Staf UPM dan orang awam dijemput hadir untuk sama-sama memeriahkan ekspo lima hari itu kerana terdapat pelbagai aktiviti menarik disediakan. Maklumat lanjut, sila hubungi 03-89467301 / 89467299, 03 03-89466003 atau layari http://www.tpu.upm.edu.my/ekspo2012/